Allah berfirman di dalam surah Al-Baqarah, ayat 186, iaitu ayat selepas turunnya arahan berpuasa:
“Dan apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi perintah-Ku dan beriman kepada-Ku agar mereka memperoleh kebenaran.”
Keberkatan bulan Ramadhan adalah sesuatu perkara yang sudah kita ketahui tetapi tidak ramai daripada kita yang menghayatinya. Lebih teruk lagi, kadang-kadang kita membiarkan Ramadhan berlalu begitu sahaja seperti bulan-bulan yang lain. Seorang rakan Greek saya yang beragama Kristian Ortodoks seringkali mengingatkan saya baru-baru ini dengan berkata,
‘I know you are praying every day and your fasting month is coming soon. So do pray for me so I can secure my job, and for my girlfriend as well. She is searching for a house to buy at the moment, and it’s so difficult to find one.’
Bukanlah kesusahan rakan Greek saya itu yang ingin diceritakan di sini tetapi permintaannya supaya saya mendoakannya menunjukkan kadang-kadang orang bukan Islam lebih yakin terhadap kuasa doa kita kepada Tuhan. Berdasarkan pembacaannya sebagai seorang yang bukan Muslim, dia mengetahui terdapat elemen istimewa di dalam bulan Ramadhan dan doa-doa khusus yang diamalkan ketika Ramadhan. Itu adalah pandangan seorang yang bukan Muslim terhadap Ramadhan. Jadi, betapa ruginya sekiranya kita sebagai seorang Muslim, yang sudah sedia ada berada di atas agama yang benar ini membiarkan keistimewaan bulan Ramadhan berlalu begitu sahaja tanpa meletakkan kesungguhan kita untuk mengejar seribu satu rahmat dan berkat yang disediakan Allah untuk kita.
Bulan Ramadhan adalah bulan yang ideal untuk perubahan dan mujahadah. Sekiranya kita bercita-cita melakukan perubahan di dalam hidup kita, Ramadhan adalah platform dan titik permulaan yang sangat baik. Di dalam bulan Ramadhan terlalu banyak masa dan perkara yang kita jimatkan. Sebagai contoh, masa makan kita dan kewangan kita diminimumkan. Ini memberi kita ruang untuk meningkatkan ibadah kita di tahap yang lebih maksima. Bulan Ramadhan adalah bulan yang ideal untuk kita fokuskan kepada hafazan kita, kualiti qiamuallail kita, akhlak kita terhadap manusia lain, masa yang terbaik untuk memperbaiki hubungan kita dengan Allah dan manusia lain.
Bagi mereka yang berkerja, waktu rehat makan tengahari boleh dijadikan sebagai waktu untuk mengejar keberkatan membaca dan mentadabbur Al-Quran. Bagi mereka yang hidup sebagai seorang pelajar juga dapat melakukan perkara yang sama. Waktu malam pula oleh dikhususkan untuk ibadah terawih yang hanya boleh dilakukan pada bulan Ramadhan. Ramadhan adalah bulan mujahadah. Ini lebih-lebih lagi yang dapat dirasakan oleh mereka yang berpuasa hampir 19 jam dan bersahur pada 2 atau 3 pagi. Mujahadah yang tinggi diperlukan untuk istiqomah melakukan ibadah puasa, lebih-lebih lagi di negara orang.
Beberapa hari yang lepas, rakan Greek saya menghubungi saya semula,
‘Hey, I got lots of good news to tell you but first, thank you for all the prayers. Of course there are people praying for me and you’re one of them. We have found a good house with affordable value to buy and it’s near my workplace!’
Keyakinan berdoa memerlukan keimanan terhadap Ilahi dan bulan Ramadhan yang berkat ini penuh dengan waktu-waktu yang mustajab untuk seorang hamba berdoa kepada Tuhannya. Sekiranya kita melepaskan peluang Ramadhan dan hanya melalui Ramadhan dengan sekadar lapar dan dahaga, maka kita adalah manusia serugi-rugi manusia.
Siti Sarah Hamzah
Calon PhD, University of Warwick
Sumber: http://www.ismaeropah.com/jangan-jadi-serugi-rugi-manusia-pada-bulan-ramadhan/