RAHMAT Allah kepada manusia, muslim dan bukan muslim amat luas dalam kehidupan di dunia. Kita melihat Allah mencipta penyakit dan Allah juga mencipta penawarnya.
تداووا، فإن الله عز وجل لم يضع داء إلا وضع له دواء، غير داء واحد الهرم
“Berubatlah. Sesungguhnya Allah tidak mencipta penyakit kecuali Dia mencipta juga penawar bagi penyakit itu, kecuali satu penyakit iaitu penuaan.” (Riwayat at-Tirmizi)
Manusia akhirnya akan jumpa juga penyembuh bagi Covid-19 sebagaimana mereka menemui penawar bagi ribuan penyakit lain sebelum ini. Samada satu pengetahuan Allah campakkan kepada manusia tertentu lalu mereka menemui penawarnya. Atau akhirnya berlaku immuniti berkelompok sebagaimana yang diramalkan oleh sebahagian pakar perubatan.
Apa yang jelas, manusia perlu pelajari bahawa semua itu hanya berlaku dengan izin Allah. Di tanganNyalah segala sumber ilmu dan Dialah Penentu kepada segala sesuatu. Dengan rahmatNyalah berlaku wabak dan dengan rahamtNyalah berlaku kesembuhan.
Beruntunglah umat Islam yang beriman dengan keimanan hakiki. Mereka mengimani kuasa Allah itu sepanjang kehidupan mereka. Datang Covid-19, tiada lain yang mereka lakukan kecuali berusaha berdasarkan peraturan alam dan tunduk menyerahkan nasib sepenuhnya kepada Allah.
Yang sihat selamat. Yang sakit pun selamat. Yang meninggal dunia juga selamat. Apabila wabak masih tersebar mereka sabar. Apabila Allah buka rahsia alam lalu wabak berhenti mereka bersyukur. Rahmat Allah menyelubungi kehidupan mereka dalam apa juga keadaan sepanjang masa.
Jangan sesekali kita jadi seperti manusia tanpa Tuhan yang mengurus wabak dengan kebingungan dan tekanan jiwa yang melampau. Meletakkan beban sepenuhnya pada ikhtiar. Menyaksikan kematian di depan mata tetapi masih tidak mahu berserah nasib kepada Allah.
Sampai masanya apabila jumpa penawar, masih lagi tidak akan tunduk kepada Allah. Lalu hati mereka akan makin keras dan jiwa makin sombong merasakan bahawa formula itu dijumpai hasil kecerdikan mereka. Ternafi dari mereka hikmah di sebalik setiap wabak yang Allah sebarkan kepada manusia.
فَلَوْلَا إِذْ جَاءَهُم بَأْسُنَا تَضَرَّعُوا وَلَٰكِن قَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيْطَانُ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
“Maka alangkah eloknya kalau mereka berdoa kepada Kami dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami (seperti wabak Covid)? Tetapi yang sebenarnya hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran), dan syaitan pula memperhiaskan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan.
(Al-Alaam: 43)
Di sebalik kesengsaraan yang ditanggung, tersembunyi rahmat Allah yang maha luas. Tunduklah kepadaNya berserah diri agar sentiasa dirahmati dunia dan akhirat.
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)