Ramadan kita dan mereka maka bersyukurlah

 

Alhamdulillah, dengan izinNya saya berpeluang untuk melibatkan diri dengan pelbagai misi kemanusiaan sejak lebih 20 tahun yang lalu. Afghanistan merupakan destinasi misi kemanusiaan yang pertama di luar negara yang pernah saya sertai.

Afghanistan adalah di antara negara yang paling mundur di dunia akibat peperangan yang berpanjangan. Mereka diserang oleh Russia untuk tempoh yang panjang sebelum digempur oleh AS, mulai Oktober 2001 sehingga 2019.

Bersama saya dalam misi kemanusiaan Mercy Malaysia kemanusiaan pada November 2002 tersebut adalah Dr Burhanuddin Busu (Pakar Ortopedik) dan Dr Zainab Kassim (Pakar Kanak-kanak) dari IIUM dan 2 orang lagi sukarelawan.

Kami berkhidmat bakti secara sukarela selama tiga minggu di bulan Ramadan, tahun 2002 tersebut di sebuah kawasan pelarian yang bernama Spin Boldak (white desert).

Seramai 1.2 juta orang rakyat Afghanistan menjadi pelarian di sempadan Pakistan yang kebanyakannya merupakan padang pasir yang berbukit.

1-Rata-rata kebanyakan mereka kelaparan dengan bekalan makanan yang terhad, mungkin hanya dengan roti keras dan air sehari sekali.

2-Mereka tinggal dalam khemah yang sempit seisi keluarga tanpa bekalan air bersih, apatah lagi bekalan elektrik, memang mustahil.

3-Pendidikan anak-anak mereka terhad di khemah-khemah oleh sukarelawan guru yang tidak menentu. Peratusan yang besar di kalangan orang dewasa turut buta huruf.

4-Perkhidmatan kesihatan dan rawatan perubatan sangat daif sekali kerana bergantung kepada sumber luar.

5-Kemudian asasi kemanusiaan yang sangat daif dan boleh dianggap sebagai luar biasa untuk kita (manusia normal) hidup di sana. Dan mereka telah hidup dengan keperitan dan kesukaran ini sejak puluhan tahun yang lalu.

6-Ramadan disambut dengan penuh sederhana kerana mereka terpaksa hidup dengan apa yang ada. Berbuka dengan roti kering dan secawan air teh sudah merupakan juadah yang sungguh menikmatkan buat mereka. Kalau dapat kari dan sedikit lauk, ini sudah besar merupakan nikmat yang sangat besar buat mereka.

7-Beribadah solat berjemaah bersama komuniti dengan tenang tanpa bunyi letupan senapang atau bom, juga adalah nikmat buat mereka bersama.

8-Mereka hanya menginginkan hidup aman, punyai bekalan makanan asasi yang minima, keperluan ubatan andainya diperlukan, serba sedikit ruang bergerak sudah cukup menggembirakan mereka. Mereka tidak sempat untuk fikir jauh, apatah lagi untuk bermimpi yang indah-indah.

Selebihnya, mereka ingin mati sebagai seorang muslim, dan dikurniakan syurga oleh Allah SWT.

Tatkala kita diuji dengan sedikit ujian, usah dilupakan bahawa di sana sini, jutaan lagi saudara seakidahmu yang susah dan amat memerlukan doa dan kasih sayangmu.

Selamat menyambut Ramadan al Mubarak

Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin
Naib Presiden ISMA

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts