Apabila dilihat pada sejarah lahir serta bangunnya sesebuah ketamadunan, tiada sejarawan menafikan bahawa antara unsur utama yang menjadi titik perubahan daripada kumpulan manusia atau bandar biasa kepada sebuah tamadun adalah unsur kesatuan (unity).
Bila mana sesebuah bangsa ini mempunyai unsur kesatuan yang sangat kuat, ia akan menolak semua sudut kehidupan bangsa tersebut untuk pergi lebih jauh hinggalah lahirnya tamadun.
Jika kita lihat dalam mana-mana tamadun, kita akan lihat wujudnya satu kesungguhan bagi melahirkan sebuah kesatuan di antara raja dan orang bawahan.
Konsep rumah ibadah (temple) yang berselerakan di semua sudut bandar, wujudnya monumen besar sebagai simbol kesatuan, patung-patung raja bertujuan mengagungkan sampailah lahirnya konsep imperial cult (penyembahan raja), semuanya adalah untuk mengangkat nilai kesatuan tersebut.
Begitulah juga halnya di dalam Peradaban Islam, wujudnya unsur kesatuan yang kukuh adalah suatu keperluan agar umat ini mampu membangunkan sebuah peradaban.
Namun Islam membawa kesatuan ini pada sisi perspektif berbeza dan lebih menyeluruh berbanding tamadun lainnya.
Ia bukan sekadar melihat pada penyatuan antara raja dan bawahan tetapi menjangkaui perkara tersebut iaitu penyatuan antara makhluk-Tuhan, manusia-manusia serta manusia-alam.
Unsur kesatuan inilah yang ditanam dalam pelbagai sudut syariat Islam antaranya melalui pensyariatan ibadah puasa di bulan Ramadan. FirmanNya di dalam al-Quran:
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas mereka yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (al-Baqarah: 183)
Di dalam ayat ini sahaja sudah cukup kita gambarkan bagaimana erti kesatuan yang perlu diimani oleh umat Islam.
Pertama, penyatuan antara manusia melalui puasa bukan sekadar sesama manusia yang wujud hari ini, tetapi menjangkaui masa iaitulah meliputi mereka yang terdahulu.
Menarik lagi Allah SWT tidak menggunakan istilah manusia terdahulu secara individu, tetapi meletakkannya sebagai ‘mereka yang terdahulu’ iaitu umat menggambarkan ianya adalah sebuah hubungan bersifat ketamadunan.
Kedua, kesemua orang beriman melalui ibadah puasa sama ada umat terdahulu atau umat hari ini bersatu atas matlamat yang sama iaitu membina ikatan yang kukuh dengan tuhan sekalian alam.
Dalam hadis digambarkan puasa ini adalah ibadah yang ‘istimewa’ kerana ia adalah hubungan terus padaNya.
قَالَ اللَّهُ : كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلا الصِّيَامَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ
Allah SWT berfirman: “Setiap amalan anak Adam itu adalah untuknya kecuali puasa, ia adalah untukKu dan Aku yang akan membalasnya,” (Riwayat Bukhari no 1716)
Penyatuan dengan Kuasa Yang Maha Sempurna lebih jauh memberi kesan berbanding sekadar sekadar kuasa makhluk yang terbatas. Penyatuan ini akan membentuk sebuah tasawwur bahawa manusia ini bukan pemilik alam ini, tetapi sekadar pemegang amanah yang bertanggungjawab memakmurkannya.
Ketiga, melalui ibadah ini juga wujudnya hubungan yang sangat indah antara umat ini dengan alam.
Kita bukan sekadar dituntut puasa, tetapi juga dituntut untuk mampu mencerap alam bagi membolehkan melihat anak bulan untuk menuntukan mulanya sebulan puasa.
Selain itu, waktu puasa secara harian itu juga menuntut kita untuk mahir terhadap selok belok alam ini dalam menentukan siang dan malam.
Melalui alam, ia memungkinkan manusia semakin hampir padaNya.
Maka, jika umat hari ini kembali menghayati erti Ramadan dengan sebenarnya ia akan melahirkan sebuah kesatuan luar biasa, serta lebih menyeluruh antara tuhan-manusia-alam yang tidak mampu dicapai oleh tamadun lain.
Ismail Faruqi menyatakan melalui kesatuan berlandaskan tauhid inilah umat terdahulu membina Peradaban Islam yang kekal selama ribuan tahun.
Peradaban yang lahir bukan sekadar mencapai kemajuan, tetapi juga mencapai kestabilan, kemakmuran, masolih insan serta kebahagiaan yang jauh berbeza dengan kerosakan serta kebinasaan yang lahir daripada tamadun barat hari ini.
Muhammad Firdaus Zalani
Pengarah PEMIKIR
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)