Hari ini umat Islam Malaysia menerima berita sedih berkenaan pulangnya ke rahmat Allah Al-Fadhil Ustaz Ismail Kamus.
Sesiapa yang seusia dengan saya atau yang lebih tua, sudah tentu sebahagian dari hidupnya dihiasi dengan celoteh taujihat Ustaz Ismail Kamus melalui rakaman-rakaman ceramahnya yang banyak.
Ustaz Ismail Kamus adalah antara insan unik di tahun 80an hingga 90an. Tanpa Youtube, FB, Instagram… tanpa telefon pintar, ceramahnya tersebar ke seluruh Malaysia melalui kaset-kaset yang dijual di kedai-kedai buku agama, di masjid-masjid, di perhimpunan dan sebagainya. Tiada jualan dalam talian untuk semua itu. Satu kaset dalam RM5 rasanya. Panjangnya 60 minit. Perlu dijaga dengan baik sebab mudah sangkut atau pecah.
Ceramahnya diulang-ulang dengar berkali-kali sehingga ada yang boleh hafal intonasi dan kalimahnya. Sindirannya tajam tapi mendidik…. yang paling saya ingat beliau mengkritik orang Islam yang menghabiskan masa ke pasar malam berjam-jam, bila keluar hanya bawa apam balik.
Ustaz Ismail Kamus adalah antara contoh ilmuwan Islam bukan Profesor, bukan pemegang PhD tetapi taujihatnya masuk ke jiwa masyarakat dengan baik. Ilmunya adalah amalannya, mungkin itu yang menjadikannya berkat sehingga memberi kesan kepada masyarakat.
Moga Allah merahmati rohnya dan menempatkannya di dalam syurga Firdaus.
Dari Allah kita datang, kepada Allahlah kita kembali.
Timbalan Presiden ISMA
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)