Meniti detik-detik akhir Ramadhan

Doa-Ketika-Perasaan-Sedih-Tiba-tiba

 

“Sahaja aku berpuasa esok hari bulan Ramadhan tahun ini fardhu ke atas ku kerana Allah swt.”
Lafaz niat kita mungkin berbeza-beza dari sudut bahasa, namun ma’ani niat setiap daripada kita sangat menginginkan supaya setiap Ramadhan yang bakal kita lalui dikurniakan kebaikan dan keberkatan yang lebih banyak daripada tahun-tahun sebelumnya.

Firman Allah swt dalam Surah Al-Baqarah ayat 183:
“Wahai orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa.”

Antara ayat klise yang sering kita dengar, yang kita baca bersempena Ramadhan. Namun adakah kita merasakan turunnya wahyu Allah swt yang satu ini, ditujukan kepada kita, hamba yang beriman, kewajipan yang diletakkan di bahu kita, tidak lain untuk kita menjadi hamba yang bertakwa?

Jika sebelum bermula Ramadhan, ramai daripada kita menadah tangan memohon diizinkan Allah swt untuk sampai kepada Ramadhan. Alhamdulillah, kini kita berada di dalam penghulu segala bulan, sejauh mana kepastian kita akan sampai kepada penghujungnya lalu bergembira meraikan ‘aidil fitri?

Kita selalu mengharapkan Ramadhan menjadi titik tolak kepada perubahan diri. “Ramadhan Madrasah Tarbiyah”, antara tagline yang selalu kita baca sepanjang beradanya kita dalam bulan yang mulia ini. Persoalannya, adakah kita mewujudkan unsur tolakan dalam diri sendiri bagi memastikan berlakunya perubahan sejurus keluar dari Ramadhan?

Dan apakah pula bentuk perubahan yang kita inginkan? Saya mungkin ingin menambah jumlah hafazan. Anda mungkin ingin khatam satu juzuk Al-Quran sepanjang bulan. Rakan kita yang lain mungkin berazam meninggalkan maksiat yang menghantui diri sekian lama. Tidak kira apa sahaja perubahan yang ingin kita laksanakan, yakinlah Allah swt Maha Mendengar, Maha Pengampun. Manfaatkan peluang berdoa sementara kita masih diberi peluang untuk melakukannya.

Sementara kita memenuhi masa kita mengukuhkan hubungan dengan Allah swt, memperkemas amalan-amalan fardhu, menambah baik amalan-amalan sunat, bertadarus, bertilawah, bersedekah, bagaimana agaknya hubugan kita dengan ibu bapa? Dengan adik-beradik kita? Dengan rakan-rakan kita?

Sejauh mana kita memaknakan Ramadhan kita untuk mengukuhkan tali perhubungan kekeluargaan, hubungan persahabatan antara kita? Berapa kerap kita menyebut nama ibu bapa kita, adik-beradik kita, rakan taulan kita dalam doa-doa kita seharian?

Menyentuh soal doa, pernah atau tidak sepanjang Ramadhan ini, kita titipkan doa buat saudara-saudara seakidah kita di luar sana? Palestin, Syria, Iran, Iraq, Lubnan, Myanmar, Pakistan, Bangladesh. Senarai negara Islam yang ditindas tiada mengenal penghujung. Pernahkan timbul di benak kita untuk mendoakan negara kita Malaysia tercinta? Semoga dikurniakan kesejahteraan, keamanan, keadilan dalam menuju pembentukan sebuah negara Islam unggul.

Suka untuk saya tinggalkan persoalan-persoalan di atas dalam benak setiap daripada kita yang membaca tulisan ini. Banyak daripadanya tidak disertakan jawapan, kerana jawapan terletak dalam dada setiap daripada kita. Mari kita duduk sebentar, beriman sejenak, sejauh mana kita sebenarnya telah berjaya memaknakan Ramadhan kali ini. Atau adakah kita hanya hamba yang syok sendiri? Ingatlah kita umat terbaik dicipta untuk umat manusia, jangan biarkan peluang menjadi sia-sia. Semoga Ramadhan kita semua penuh makna.

Firman Allah swt dalam Surah Al-‘Imran ayat 110:
“Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah swt. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang yang fasik.”
Wallahu’alam.

Noor Azleen Hakima binti Che Aziz
Intern, MCODS Mangalore

Sumber: http://ismaindia.net/meniti-detik-detik-akhir-ramadhan/

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts