BANGI – Sudah sampai masanya kerajaan mengenakan hukuman tegas kepada pemandu mabuk, kata Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang memaklumkan bersedia membawa usul meminda hukuman lebih tegas dikenakan terhadap pemandu mabuk dalam sidang Parlimen akan datang.
“Saya dimaklumkan Menteri Pengangkutan sedang meneliti untuk mengubal undang-undang sedia ada kepada pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan.
“Hari ini saya tengok TV3 melaporkan mengenai kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk yang memandu melawan arus.
“Perkara ini seharusnya diambil berat oleh kerajaan seperti mana kenyataan bersama Muafakat Nasional Selangor yang mahu hukuman penjara mandatori dikenakan. Terima kasih Kementerian Pengangkutan (MOT) atas tindakan segera yang diambil,” katanya di Facebook hari ini.
Sebelum ini, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, satu sesi taklimat di MOT bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan diadakan pada 1 Jun ini bagi meneliti dan menyemak semua cadangan berkaitan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau memaklumkan, pindaan akta itu khususnya adalah berkaitan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah, memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan atau meragut nyawa pengguna jalan raya lain.
“Pindaan akta ini mestilah dimuktamadkan dalam pertengahan Jun ini dengan mengambil kira pandangan orang ramai melalui kajian soal selidik yang sedang dijalankan sebelum ia dibentangkan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.
Kes kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk kerap berlaku. Terbaru seorang kakitangan Alam Flora maut selepas keretanya dirempuh sebuah kereta yang dipandu melawan arus, dipercayai akibat pengaruh alkohol, di Jalan Pintasan Kuantan, Kuantan.
Mangsa, Irwan Herman Kamarudin, 41, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan dada.
Terdahulu, dua sahabat maut selepas motosikal ditunggangi mereka dilanggar kereta dipandu wanita disyaki dalam keadaan mabuk di Km13, Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) menghala Sungai Dua, Butterworth.
Sebelum itu, seorang penunggang motosikal maut, manakala rakannya cedera juga disebabkan pemandu disyaki mabuk dalam kejadian di Batu 10, Jalan Apas, Tawau. – ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Setkan ‘See First’ fb page Indahnya Islam atau ikuti telegram Indahnya Islam agar anda sentiasa dapat mengikuti pelbagai bahan-bahan menarik berkaitan kesyumulan Islam.
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)