Henti bangkit ‘arak hak bukan Islam’

Saya berpendapat agar kita semua perlu berhenti mengatakan meminum arak adalah ‘hak bukan Islam’ kerana setahu saya, tidak ada yang agama yang membenarkan arak pun.

Malah, arak memang sudah terbukti merosakkan kesihatan, keluarga dan masyarakat.

Maka, ini adalah isu kita semua bersama, merentasi agama dan latarbelakang sekalipun.

Sepatutnya atas dasar ini sahaja sudah boleh menyatupadukan kita semua untuk sepakat menolak arak.

Mengapakah para pemimpin kita tidak menggunakan naratif ini dalam mengulas dan membuat pendirian mengenai arak?

Saya yakin, yang bersungguh-sungguh mahu mempertahankan hak untuk meminum arak ini biasanya adalah mereka yang jauh dari agama masing-masing dan mereka yang tidak percaya pada agama.

Rakyat Malaysia yang sejati adalah mereka yang percaya pada Tuhan, iaitu beragama.

Ini selari dengan Rukun Negara yang pertama iaitu Kepercayaan kepada Tuhan.

Maka, saya ingin menyeru agar pemimpin agama lain selain Islam untuk bersama-sama mendidik penganut masing-masing untuk menolak arak demi kesejahteraan kita bersama.

Malah, pengharaman arak dalam Islam adalah antara contoh manifestasi rahmatan lil alamin (rahmat buat sekalian alam) yang sebenar, iaitu jika manusia menjauhi arak maka rahmat kesejahteraannya akan dinikmati bersama dari pelbagai aspek seperti kesihatan fizikal dan mental, ketenteraman awam dan sebagainya.

Maka, mereka yang sering melaungkan slogan ‘rahmatan lil alamin’ dalam berpolitik semestinya menyokong, malah bersungguh-sungguh berusaha agar arak diharamkan di negara ini. Namun, malangnya saya tidak nampak perkara ini berlaku.

Oleh itu, saya merayu agar para pemimpin negara khususnya menteri-menteri dan ahli-ahli politik, baik blok kerajaan mahupun pembangkang agar berhenti menggunakan naratif “arak adalah hak bukan Islam”.

Ini kerana arak merosakkan individu, keluarga, masyarakat dan negara tanpa mengira apa agama kita sekali pun.

Setiap rakyat Malaysia adalah penting dan berharga untuk dipelihara. Jika kita terus dengan naratif ini, janganlah mimpi untuk kita menuju ke arah sebuah masyarakat sihat, yang bebas dari ketagihan arak dan alkohol.

Jika kerajaan boleh memasang visi yang jelas ke arah negara sifar penjualan rokok menjelang tahun 2050 sebagaimana yang terkandung dalam TN50 dahulu, mengapa tidak arak?

Alangkah indahnya juga kerajaan boleh meletakkan komitmen dalam memerangi arak sebagaimana kita memerangi dadah.

Maka, tidak perlu malu, tidak perlu segan untuk mengucapkan atau menyokong cadangan mengharamkan penjualan arak di Malaysia kerana ianya tidak mencabuli hak sesiapa pun, malah ianya kata-kata yang menunjukkan betapa sayangnya kita terhadap masyarakat dan negara.

Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

www.indahnyaislam.my

—-—

Setkan ‘See First’ fb page Indahnya Islam atau ikuti telegram Indahnya Islam agar anda sentiasa dapat mengikuti pelbagai bahan-bahan menarik berkaitan kesyumulan Islam.

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts