Islam tertegak di kalbu umat sebelum disebar kepada orang lain

Satu keistimewaan yang terdapat pada umat Islam yang tidak ada pada umat-umat lain ialah ketaatan dan kepatuhan kepada undang-undang bersumber dari iman dan ubudiyah kepada Allah.

Disiplin yang ditunjukkan oleh masyarakat Islam khususnya di Malaysia dalam isu mematuhi Standard Operasi Standard (SOP) solat di masjid-masjid adalah satu testimoni yang paling kuat mengenai pengaruh agama dalam kehidupan seseorang.

Pihak Ulil Amri (pihak berkuasa yang bertanggungjawab ke atas urusan umat Islam – baik pemerintah, institusi-institusi Islam dan para Mufti) ditaati tanpa banyak persoalan atau keluh kesah secara harmoni dan tenteram.

Ini juga satu gambaran disiplin yang muncul dari dalam kalbu umat, bukan secara paksaan, perundangan atau didorong oleh sebarang kepentingan.

Kecenderungan politik atau mazhab, perbezaan taraf pendidikan, darjat, kedudukan, jawatan, jantina, bahasa dan negeri semuanya tunduk kepada arahan berkenaan SOP solat di masjid-masjid, suatu fenomena luar biasa yang jarang berlaku di luar wabak pandemik COVID-19 yang melanda negara.

Umat Islam, dalam sifat asli dan fitrahnya, adalah umat dan kaum yang masih kuat berpegang pada agama (Islam), meskipun terdapat sekian-sekian waktu atau tempoh, pegangan ini boleh terlepas atau kendur atau terputus sama sekali.

Puncanya boleh datang dari dalam dan juga dari anasir-anasir luar, dalam bentuk penjajahan fikiran, serangan ideologi-ideologi asing mahupun dari pertelingkahan dalaman, perbalahan dalam masalah fiqah yang serpihan atau perbezaan pandangan politik.

Akan tetapi, umat ini secara fitrahnya masih tetap berpegang teguh kepada agama Islam.

Justeru itu, kita saksikan disiplin yang cemerlang dipamerkan oleh umat ini di seluruh dunia dalam isu pematuhan kepada seruan, nasihat dan garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak Ulil Amri, yang mengambilkira faktor menjaga kemaslahatan umat dan prioriti yang diusulkan dalam Syari’at Islam.

Adapun SOP dalam pergerakan, perjalanan, perniagaan dan sebagainya, pematuhan ini terpakai ke atas semua lapisan masyarakat, tanpa melihat kepada agama atau iktikad masing-masing.

Setiap rakyat perlu patuh demi kemaslahatan mereka. Maka tidak ada apa-apa perbezaan tertentu yang boleh ditonjolkan dari sudut ini.

Pematuhan dan ketundukan dalaman inilah yang merupakan faktor yang menzahirkan keunggulan dan keistimewaan Syari’at Islam dalam urusan perlaksanaan undang-undang berbanding mana-mana sistem keadilan yang diciptakan oleh manusia.

Syariat Islam bermula dari langkah mendekati roh dan jiwa manusia serta mendidik dan mengasuh mereka terlebih dahulu dalam mu’amalat mereka dengan Allah, sebagai Pencipta yang Maha Berkuasa, Maha Adil, Maha Bijaksana dan Maha Penyayang, sebelum mereka diperkenalkan dengan perlaksanaan undang-undang.

Sentuhan yang berterusan seperti di atas ini perlahan-lahan akan mengubah hidup mereka, menewaskan dorongan-dorongan hawa nafsu, keangkuhan, kesombongan dan kekerasan hati.

Tabiat dan amalan-amalan mungkar yang dahulunya dianggap biasa dan normal akan menjadi satu praktis yang paling dibenci dan akan dinyahkan melalui tangan-tangan mereka sendiri sebagai lembaran-lembaran sejarah hitam yang tidak akan berulang kembali dalam hidup mereka.

Gambaran masyarakat seperti ini bukan mustahil dicapai dan masih dapat disaksikan dalam banyak episod sejarah yang telah dibukukan, hatta di zaman teknologi Big Datanya sekalipun.

Bagaimanapun, kita tidak pula menafikan peranan sistem keadilan Islam dan institusi-institusi mahkamahnya dalam menjamin keamanan, keselamatan dan hak-hak masyarakat secara umum.

Kedua-duanya (dorongan dalaman [keimanan] dan perlaksanaan hukuman) adalah dua sisi pada satu syiling yang sama.

Pendekatan Barat sangat jauh sekali perbezaannya dalam mendidik masyarakat supaya patuh kepada undang-undang dan peraturan.

Meskipun pada suatu zaman yang panjang pihak agama (Gereja) telah berperanan menjaga tatacara bermasyarakat dan moral serta akhlak individu-individu, institusi tersebut lama kelamaan telah diserapi dengan penyelewengan, khurafat, kemungkaran, kesesatan dan eksklusiviti dalam ilmu pengetahuan, sehingga masyarakat di sana terpaksa berhadapan dan akhirnya meninggalkan agama sekiranya mereka ingin merdekakan akal mereka.

Agama/Gereja dianggap sebagai batu penghalang kepada usaha manusia untuk maju dan berkembang.

Gereja perlu diperosokkan ke satu sudut yang sangat terpencil sehingga urusan agama atau ibadat mereka akhirnya menjadi satu hubungan peribadi antara makhluk dan Pencipta semata-mata.

Bila manusia Barat melepaskan dirinya dari kongkongan agama/Gereja, maka pihak yang segera memegang kendali ruh dan jiwa mereka adalah hawa nafsu dan akal semata-mata.

Agama kini diganti dengan hawa nafsu. Sistem sosial, ekonomi , pendidikan dan juga perundangan kini tidak lagi terikat atau perlu merujuk kepada agama, yang dianggap sebagai perosak kehidupan dan penghalang kepada kemajuan dan tamadun manusia.

Justeru itu, kita akan dapati bilamana berlaku sebarang penyelewengan kepada amalan-amalan biasa masyarakat atau kepada nilai-nilai moral di sana, usaha-usaha untuk mengatasinya akan sentiasa gagal.

Sistem perundangan di sana (yang telah menyisihkan agama) juga tidak akan berjaya mencegah perlanggaran moral, akhlak, atau membasmi apa-apa ketagihan atau jenayah.

Polisi dan undang-undang yang diperkenalkan dan dipaksakan ke atas masyarakat juga tidak akan mampu menyelesaikan masalah-masalah atau tabiat atau perilaku anggota-anggota masyarakatnya.

Kerana apa?

Kerana hawa nafsu telah menguasai roh dan jiwa masyarakat.

Nilai penentu bukan lagi agama tetapi kepentingan diri sendiri, kebebasan dan kewenangan yang tidak terkawal dan keangkuhan yang tinggi dalam mempertahankan hak-hak peribadi dari sebarang campurtangan pihak pemerintah.

Sesiapa yang mengikuti atau pernah membaca tentang Prohibition Era di Amerika Syarikat boleh memahami fenomena ini.

Saya berpandangan bahawa usaha-usaha untuk membendung gejala pemabukan yang menjadi topik hangat baru-baru ini tidak akan dapat diselesaikan secara berkesan melalui perundangan semata-mata.

Tabiat atau ketagihan kepada arak atau minuman-minuman memabukkan tetap akan berlaku walau setinggi mana atau seberat mana sekali hukumannya.

Situasi yang sama boleh diperhatikan kepada kesalahan-kesalahan jenayah lain – rompakan, pembunuhan, pengedaran dadah, judi, pelacuran, rasuah dan pecah amanah … tidak pernah berjaya dibasmikan 100 peratus.

Kempen demi kempen dan penguatkuasaan undang-undang, meskipun disokong dan dialu-alukan, peranan ibubapa, institusi kekeluargaan, pendidikan dan seumpamanya telah terbukti gagal untuk menangani gejala-gejala kemungkaran, kemaksiatan, penyelewengan dan perbuatan-perbuatan jenayah masa kini.

Semua pendekatan ini mungkin berjaya sebagai satu penyelesaian sementara sahaja.

Akan tetapi, selagimana nilai-nilai buruk yang dianuti oleh masyarakat tidak diperbetulkan atau digantikan dengan nilai-nilai yang bebas dari dorongan hawa nafsu atau kepentingan manusia, dan selagimana nilai-nilai yang bebas dari sebarang penyelewengan atau campurtangan manusia itu tidak mendominasi dan menjadi darah daging kepada masyarakat, maka selagi itulah masyarakat kita akan terperangkap dalam lingkaran kengerian (vicious cycle) yang tidak ada jalan keluarnya.

Para ahli falsafah telah cuba (dan gagal) untuk merumuskan suatu sistem nilai yang dapat menyelesaikan semua masalah manusia atau menawarkan satu sistem hidup yang paling sesuai dan menepati tujuan manusia diciptakan.

Mereka bagaikan para penunjuk jalan yang membimbing manusia menempuh satu perjalanan di malam yang gelap gelita.

Sekiranya berlaku pancaran kilat di sesuatu tempat, ke situlah mereka akan pimpin manusia.

Dan mereka akan berhenti di saat tiada lagi pancaran kilat di hadapan mereka.

Demikianlah tragedi manusia yang sesat membimbing manusia lain yang turut sesat .

Demikianlah yang kita dapat saksikan pada kepatuhan dan ketundukan umat Islam dalam isu amalan peribadatan mereka hari ini.

Negara mungkin bergolak dengan pelbagai masalah – pertelingkahan politik, perebutan kuasa, ketidakpastian ekonomi, ketidakstabilan sosial dan seumpamanya.

Akan tetapi, umat Islam masih boleh menghadap ke arah kiblat yang sama, dengan dipandu oleh keimanan mereka kepada Allah dan kepatuhan mereka kepada Ulil Amri, yang pada saat ini, adalah paksi kesatuan umat selagimana mereka berpegang kepada nilai-nilai Islam.

Rahsianya ialah pada tertegaknya Islam dalam jiwa umat sebelum ia tertegak di tengah-tengah masyarakat.

Muhammad Luttfi Abdul Khalid.
Pengerusi Ikatan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (iPeguam)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts