BANGI – Nama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) disebut lagi dalam laporan kebebasan beragama antarabangsa Amerika Syarikat (AS) seperti tahun-tahun sebelumnya, kata Presidennya, Haji Aminuddin Yahaya.
Bahkan, Haji Aminuddin berkata, nama beliau juga disebut secara khusus dalam laporan terbaharu tahun lalu, yang kononnya ‘menggugat hak kebebasan beragama’ bagi Malaysia, selain turut menyebut mengenai kempen beli produk muslim (BMF).
Menurutnya, kerajaan AS akan mengeluarkan laporan seumpama itu bagi setiap negara kononnya untuk rujukan antarabangsa bagi isu-isu penindasan minoriti, termasuklah hak kebebasan beragama.
“Bagi saya, ini hanyalah satu bentuk tekanan kepada negara-negara lain secara halus bagi menguatkan hagemoni dan campur tangan mereka melalui proksi-proksi.
“Di Malaysia, rujukan utama mereka ialah Suhakam yang kita semua ketahui dikuasai oleh pemikiran liberal, liberalisme agama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Haji Aminuddin mengesyaki ada sesuatu yang pelik kerana rakyat Malaysia sendiri tidak mempercayai Suhakam, tetapi ‘kuasa besar’ dunia itu pula mengambilnya sebagai sumber rujukan utama.
“Dalam laporan terbaru ini, perkataan Syiah disebut sebanyak 22 kali di mana ianya menekankan mengenai sekatan-sekatan oleh kerajaan dan jabatan agama terhadap penularan ajaran Syiah, kononnya sebagai penindasan terhadap golongan ini dengan membawa naratif Syiah juga sebahagian dari Islam yang dijamin dalam Perlembagaan.
“Laporan ini langsung tidak menyebut betapa suburnya penularan ajaran Syiah ini sehingga boleh berakar umbi,” katanya.
Selain itu, laporan berkenaan juga menyebut mengenai isu pembelajaran tulisan Jawi di sekolah, walhal ia tulisan warisan kebangsaan turun-temurun, kata Haji Aminuddin.
Beliau mempersoalkan siapa yang pihak AS rujuk dalam isu berkenaan, dan menyifatkan naratif itu sama seperti dibawa oleh pertubuhan radikal, Dong Zong.
“Apa yang menariknya ialah, laporan ini langsung tidak menyebut mengenai ‘kebebasan’ agama lain. Contohnya pembinaam kuil-kuil haram di serata Malaysia yang kebanyakan antaranya mendapat tanah percuma untuk membina kuil secara sah selepas kuil haram dirobohkan.
“Lebih malang lagi, kerana isu pembinaan kuil haram jugalah yang akhirnya menyebabkan kematian Allahyarham Adib yang sehingga kini tidak terbela. Tidakkah ini sesuatu ‘kebebasan’ yang terlampau? Mengapakah ini tidak disebutkan?,” katanya.
Beliau berkata, dasar ‘rahmatan lil alamin’ kerajaan terdahulu juga langsung tidak diberikan kredit walaupun banyak perkara pelik di luar kebiasaan dilakukan oleh kerajaan dan Menteri Agama kononnya ‘meraikan’ kebebasan agama.
“Saya tidak bercadang untuk mengulas perenggan demi perenggan apa yang ditulis dalam laporan Amerika Syarikat ini tetapi saya ingin mengajak kita berfikir, apakah dengan melunak dan mencairkan prinsip kita dalam agama maka akan membuatkan mereka reda dengan kita?
“Dan melihat kepada kepincangan laporan ini, apakah badan-badan hak asasi seperti Suhakam ini boleh dipercayai? Atau mungkinkah ini masanya kerajaan boleh kaji semula keahlian dalam Suhakam?,” katanya.- Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)