DUA hari lepas kuliah Maghrib pertama saya sejak arahan PKP pertengahan Mac lepas. Berkuliah di Masjid al-Ikhlas, ss 13 Shah Alam atau dulunya dikenali sebagai Masjid Naza. Masuk melangkah ke masjid dengan perasaan berbelah bagi. Duduk di kerusi pengkuliah dengan satu perasaan yang luar biasa. Alhamdulillah masih tidak kekok.
Kuliah di masjid-masjid adalah di antara wasilah pendidikan umat yang cukup berkesan dalam membina masyarakat bertaqwa. Pengkuliah bertanggungjawab terhadap segala isi penyampaiannya. Ada sesetengah jemaah yang datang hanya kerana ingin mencatit butiran nasihatnya.
Sempena pembukaan semula masjid dan surau untuk kuliah pengajian, sedikit perkongsian saya kepada semua asatizah:
1. Ikhlaskan diri setiap kali memberi penyampaian. Jangan dirunsingkan sangat berkenaan berapa tebal sampul yang diterima atau berapa ramai jemaah yang datang. Kadang-kadang kuliah hari ini memberi kesan kepada pendengar yang tidak hadir. Allah memindahkan kata-kata seseorang dalam bentuk yang hanya Dia yang tahu.
2. Buat persiapan sebaiknya sebelum menyampaikan kuliah. Sejam kuliah perlukan mungkin 4 jam persiapan. Ini untuk orang yang agak lembab seperti saya. Kurang bersedia bermakna tiada isi penyampaian. Tiada isi penyampaian, maknanya kita tak sampaikan apa-apa.
3. Hormatilah tahap pendidikan jemaah. Bercakaplah mengikut laras akal mereka. Kadang-kadang di depan kita orang pakai baju macam pekebun, rupanya dia adalah profesor di bidangnya. Kadang-kadang di depan kita orang pakai baju macam Syeikh Azhar, tapi rupanya beliau hanya orang biasa. Bahasa biar difahami kerana tujuan kuliah adalah menyampaikan mesej bukan untuk mempersembahkan seni penyampaian.
4. Hormatilah masa jemaah. Jangan sia-siakan masa mereka. Mereka datang untuk menimba ilmu bukan untuk berhibur. Bergurau dalam penyampaian jangan sampai takda ilmu yang sampai ke minda jemaah. Masjid juga bukanlah tempat untuk terbahak-bahak secara berjemaah.
5. Jaga maruah jemaah. Jangan sindir mereka. Jangan hina mereka. Jangan jadikan mereka bahan jenaka. Jangan angkat suara memarahi mereka. Jika terguris perasaan mereka, mohonlah kemaafan di akhir kuliah dengan sungguh-sungguh.
6. Bertegur sapa dengan jemaah masjid/surau samada sebelum kuliah atau selepas kuliah. Hubungan hati antara manusia adalah antara sumber kekuatan masyarakat Islam.
7. Jagalah masa dengan baik. Hadir tepat pada masanya dan berhenti kuliah juga tepat pada masanya. Fahami pantang larang masjid/surau dengan baik. Setiap masjid/surau ada aturannya yang tersendiri. Pengkuliah terikat dengan aturan itu. Jika perlukan masa tambahan, mintalah izin dari Ajk.
8. Berdoalah kepada Allah agar diterima segala amalan. Mohon diteguhkan hati semua jemaah agar istiqamah dengan Islam.
Moga budaya kuliah ini akan terus subur dalam masyarakat Islam di Malaysia.
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)