1. ADALAH tidak wajar kenyataan yang dikeluarkan oleh Mohamad Sabu apabila menyamakan Rasulullah dengan pelarian.
2. Ini kerana, penghijrahan Rasulullah bukanlah menuntut perlindungan suaka politik seperti yang kita lihat pada hari ini. Penghijrahan Rasulullah didahului dengan Bai’ah Aqabah iaitu perjanjian yang menyerahkan wewenang kuasa politik kepada Rasulullah.
3. Perpindahan kekuasaan pemerintahan ini dapat difahami daripada butiran dialog perjanjian yang diungkapkan sendiri oleh al-Barra bin Ma’rur (pemimpin Bani Salamah), lelaki pertama yang mengucapkan lafaz perjanjian yang memegang erat tangan Rasulullah lalu berkata:
والذي بعثك بالحق نبيا لنمنعك مما نمنع منه أزُرَنا (نساءنا وأهلنا)، فبايعْنا يا رسول الله، فنحن والله أبناء الحروب
“Demi Tuhan yang mengutuskan kau sebagai Nabi, kami akan melindungi (mempertahankan) engkau sepertimana kami melindungi keluarga kami. Kami berjanji padamu wahai Rasulullah. Sesungguhnya kami adalah anak-anak perajurit medan perang.”
4. Perhatikan bagaimana kaum Ansar sendiri sudah menyerahkan janji setia untuk mengangkat Rasulullah sebagai pemimpin yang akan dipertahankan sebelum Baginda tiba di Madinah lagi. Begitu juga dengan hadis Jabir yang secara jelas mengangkat Rasulullah sebagai pemimpin yang menyatukan Aus dan Khazraj di Madinah. Ini semua tidak berlaku pada pelarian yang kita saksikan pada hari ini.
5. Kedua, penghijrahan Rasulullah ke Madinah menyaksikan bagaimana seluruh warga Madinah menyambut Rasulullah dengan penuh gembira dan alunan syair yang menghiasi ketibaan Baginda. Sehinggakan mereka melaungkan bait-bait yang melagukan dan menzahirkan kegembiraan mereka. Kata al-Mubarakfuri:
فقد كانت البيوت والسكك ترتج بأصوات التحميد والتقديس، وكانت بنات الأنصار تتغنى بهذه الأبيات فرحا وسرورا
“Sesungguhnya rumah-rumah serta jalan-jalan di Madinah, bergegar dengan suara-suara tahmid dan taqdis (pujian dan penyucian) manakala anak-anak kaum Ansar melagukan bait-bait syair yang melambangkan kegembiraan mereka (terhadap ketibaan Rasulullah).
6. Adakah suasana kegembiraan serta gegak gempita alunan syair seperti ini dialunkan ketika mana kita menyambut seorang pelarian yang turun dari sampannya di persisiran Langkawi? Sudah pasti jauh untuk dibandingkan sambutan Hijrah dengan ketibaan pelarian.
7. Malah apa yang lebih menarik lagi, Hijrahnya Saidina Umar adalah dalam keadaan yang penuh dengan ketinggian dan kemuliaan (izzah). Ia tidak sama seperti nature seorang pelarian yang melarikan diri. Perhatikan bagaimana ucapan Umar ketika berhijrah:
من أراد أن تثكله أمه ويُيتم ولده ويرمل زوجته، فليلقنى وراء هذا الوادى
‘Barangsiapa yang inginkan ibunya kehilangan anak, atau anaknya menjadi yatim atau isterinya menjadi balu, maka jumpalah aku dibelakang lembah ini. (iaitu kalau berani halanglah aku!)
8. Perhatikan tingginya izzah (kemuliaan Umar) dalam berhijrah. Ia langsung tidak sama seperti pelarian yang keluar dalam keadaan ketakutan seperti yang difahami pada hari ini.
9. Dengan itu adalah sangat tidak wajar untuk Mohamad Sabu menayamakan Rasulullah atau Hijrahnya Rasul itu sebagai seorang pelarian.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)
Mat Sabu tu bodoh…namanya pun sabu…….