Malaysia #QuranHour platform keluarga dekati Al-Quran

 

SHAH ALAM – Program Malaysia #QuranHour yang akan berlangsung pada 30 Ogos ini disifatkan sebagai platform terbaik bagi keluarga Islam untuk mendekatkan diri dengan al-Quran.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas Datuk Husammuddin Yaacub berkata menerusi program itu, ia secara tidak langsung akan mendorong mereka (keluarga Islam) untuk meluangkan masa bersama-sama membaca al-Quran selama satu jam.

“Disebabkan pandemik COVID-19 sedang melanda negara, kita lebih galakkan setiap keluarga Islam berkumpul di rumah masing-masing untuk membaca al-Quran pada program yang berlangsung bermula 12 tengah hari hingga 1 tengah hari itu.

“Program ini dianjurkan pada hari Ahad, pastinya kebanyakan ahli keluarga tidak bekerja dan ia adalah peluang terbaik untuk mereka memulakan langkah berinteraksi dengan al-Quran menerusi dua surah yang diketengahkan iaitu Ar-Rahman dan Al-Furqan,” katanya pada sidang media program itu di Kompleks Karangkraf di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas Marhaini Yusoff.

Beliau berkata bertemakan ‘MengQURANkan Bangsa MengIKHLASkan Ummah’, program itu bukan sahaja mengajak umat Islam membaca al-Quran tetapi turut mengamalkan keperibadian 12 personaliti ‘Ibadurrahman’ yang terkandung dalam surah Al-Furqan.

“Menerusi ayat 63 hingga 77 (surah Al-Furqan), 12 personaliti itu menggambarkan akhlak umat Rasullullah SAW antaranya mendirikan solat pada malam hari, berbudi bahasa dan memohon kebaikan untuk keluarga.

“…dan seiring dengan bulan kebangsaan, kita turut berharap program ini akan membina diri umat Islam dengan personaliti ‘Ibadurrahman’ sekali gus membentuk negara dengan umat berbudi dan beradab,” katanya.

Katanya, program Malaysia #QuranHour yang masuk tahun ke-6 penganjurannya itu akan disiarkan secara langsung dari studio TV AlHijrah. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts