Daulatkan Islam bersama-sama sebagai satu umat

 

HIJRAH adalah dekat di hati dan sanubari umat Islam, melalui peristiwa Hijrah Rasulullah SAW dan umat Islam yang akhirnya menubuhkan sebuah masyarakat dan negara Islam yang unggul. Dari sini, kejayaan demi kejayaan diraih sehingga membina sebuah tamadun yang berjaya mendominasi paksi kuasa dunia.

Di Malaysia, alhamdulillah Maal Hijrah pada tahun ini disambut dengan suasana yang gembira, sederhana dan ketika kuasa politik orang Melayu kembali pada tampuknya walaupun masih jauh daripada sempurna. Usaha untuk berjuang ke arah kesempurnaan tersebut adalah tanggungjawab seluruh masyarakat bersama, bukan sahaja ahli-ahli politik semata-mata. Malah, banyak lagi aspek yang kita masih ketinggalan seperti ekonomi, sosial dan sebagainya.

Secara prinsipnya dan asasnya, umat Islam berpolitik untuk mendaulatkan Islam, dan apabila Islam itu tertegak maka sejahteralah sesebuah masyarakat dan negara itu. Inilah yang dikatakan ‘Islam sebagai rahmat kepada semua’.

Walaubagaimanapun, perjuangan mendaulatkan agama Allah ini masih lagi jauh untuk dicapai lebih-lebih lagi kemelut politik banyak membantutkan usaha ini. Ahli-ahli politik terlalu disibukkan dengan perebutan dan mengekalkan kuasa di mana proses lompat melompat sini dan sana membuat rakyat keliru; ke manakah politik yang ada hari ini cuba membawa kita?

Mendaulatkan Islam dalam konteks bernegara bermaksud membawa dan membuat perubahan kepada kebaikan melalui kuasa, pengaruh dan segala yang termampu. Ini memerlukan keazaman yang kuat dan kerohanian yang tinggi oleh semua pihak. Maka, kita perlu mula berfikir dan berfungsi sebagai satu ummah, bukan nafsi-nafsi mengikut parti dan organisasi masing-masing semata-mata. Ya, menyatukan ummah belum lagi selesai selagi hati dan sanubari kita tidak disatukan.

Saya tahu dan sedar perkara ini bukanlah mudah, tetapi saya yakin ianya tidaklah mustahil. Usaha yang penuh kesabaran, terancang, berstrategi dan beristiqamah adalah kuncinya. Selebihnya kita bertawakal kepada Allah.

Akhir sekali, saya mendoakan akan kesejahteraan semua rakyat dan menyeru semua pihak untuk teruskan usaha ke arah pengislahan yang kamil. InsyaAllah. Ameen.

Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
1 Muharram 1442 / 19 Ogos 2020

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts