KISAH lima pelajar perempuan berketurunan Orang Asli Temiar memeluk Islam kerana mendengar alunan bacaan al-Quran rakan mereka beragama Islam, menunjukkan kehebatan kitab suci itu sebagai mukjizat yang berupaya mengetuk hati manusia.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indera Petra 1, Gua Musang itu mengucap dua kalimah syahadah pada majlis khas di Madrasah Taman Sri Galas, Kuala Betis, Gua Musang.
Siti Awara Johari, 13, berkata dia setiap hari berkawan dengan rakan sekolah dan selalu mendengar alunan bacaan al-Quran.
Katanya, begitu juga dapat melihat rakan beragama Islam itu menunaikan solat lima waktu sehingga dirinya rasa gelap masa depan selagi tidak beragama.
Dalam sirah, sudah tentu banyak kisah yang mencatatkan sahabat Rasulullah SAW memeluk Islam selepas mendengar ayat al-Quran.
Antara yang istimewa tentunya kisah Sayidina Umar al-Khattab RA, apatah lagi kerana ia mengubah daripada seorang yang bersikap keras terhadap seruan Islam dan mahu mengambil tindakan terhadap Rasulullah SAW kepada seorang sahabat yang sangat mencintai Baginda melebihi diri sendiri.
Malah, al-Quran juga ‘mengetuk’ pintu hatinya sebanyak dua kali sebelum akhirnya beliau melafazkan kalimah syahadah.
Kisah pertama berlaku ketika Umar mahu bertemu Rasulullah SAW yang ketika itu berada di hadapan Kaabah dan sedang membaca surah al-Haaqqah.
Firman Allah SWT: Bahawa sesungguhnya Al-Quran itu ialah (wahyu daripada Kami) disampaikan Rasul mulia. Dan bukanlah al-Quran itu perkataan seorang penyair (seperti kamu dakwakan. Namun, sayang) amatlah sedikit kamu beriman. Dan juga bukanlah Al-Quran itu perkataan seorang pawang (seperti kamu katakan. Namun, sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan. (Al-Haaqqah: 40-42)
Ketika Rasulullah SAW membacakan ayat ke-40, Umar merasakan apa dibacakan Baginda ialah sihir seperti dituduh Musyrikin Makkah pada waktu itu. Bagaimanapun, ayat berikutnya yang dibaca Baginda mengejutkannya kerana persoalan yang timbul di fikirannya itu, terus dijawab Allah SWT.
Firman Allah SWT: “Dan kalaulah (Nabi Muhammad yang menyampaikan al-Quran itu) mengatakan atas nama Kami secara dusta – sebarang kata-kata rekaan – sudah tentu Kami akan menyentapnya dengan kekuasaan Kami, – Kemudian sudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya (supaya ia mati serta-merta); Maka tidak ada seorangpun antara kamu dapat menghalang (tindakan Kami itu) daripada menimpanya.” (Al-Haaqqah: 44-47)
Umar ketika itu merasakan Islam menyelinap masuk ke hati sanubarinya, tetapi belum menjadikannya memeluk Islam hingga kisah keduanya yang terkenal.
Kisah kedua lebih dramatik kerana Umar ketika itu menghunus pedang dengan perasaan penuh kemarahan untuk mencari Rasulullah SAW tetapi beliau diberitahu bahawa adiknya, Fatimah bersama suami sudah memeluk Islam.
Oleh itu, Umar menangguhkan hasrat itu, lalu berpatah ke rumah Fatimah dan menerjah pintu rumah mereka serta memukul adik iparnya.
Bagaimanapun, keteguhan hati Fatimah dan suami berhadapan dengannya, menyebabkan hati yang membara itu sedikit sejuk, ditambah melihat adik kesayangannya berdarah.
Malah, hatinya terus lunak kemudiannya selepas Fatimah membaca lembaran surah Taha ayat 1-8. Umar yang sebelumnya menghunus pedang mencari Rasulullah SAW, lalu berubah menjadi seorang yang mahu menatap wajah Baginda sebagai seorang Muslim.
Sudah tentu sejarah merakamkan bagaimana Umar menjadi tokoh penting dan berani dalam sirah, sekali gus mencatatkan banyak peristiwa besar termasuk menjadi khalifah kedua dalam Islam.- Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)