BUDAYA, gaya hidup, nilai, kepercayaan, moral dan semua ciri kehidupan masa kini adalah manifestasi rangkaian satu sistem ekonomi. Kita boleh akui mengikuti agama pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja, berpegang teguh pada prinsip atau paling berintegriti dan bertanggungjawab.
Hakikatnya, di sebalik bentuk dan jenis pengakuan ini, tersembunyi kerisauan dan keresahan kita kepada perkara berkait untung rugi daripada rangkaian sistem ekonomi yang membelenggu kita puluhan tahun.
Dalam usaha menguraikan segala bentuk kegelisahan ini, sistem teknologi komunikasi pintar membantu dengan menyediakan pelbagai medium menarik seolah-olah meditasi kepada kerumitan ekonomi yang dilalui. Ia membantu melepaskan kegusaran jutaan penduduk dunia dengan meraih pelbagai manfaat khususnya aspek penguraian masalah ekonomi yang dahulu tidak pernah terfikir oleh manusia.
Pembabitan generasi muda secara besar-besaran dan keghairahan meraih keuntungan daripada pelbagai rangkaian teknologi pintar ini secara zahirnya mampu melepaskan kebimbangan masa depan mereka dalam kalangan pimpinan negara, masyarakat dan keluarga.
Namun secara batinnya, naluri kemanusiaan sering tertanya-tanya, dari perspektif agama, apakah masih ada agama pada jiwa mereka dan di mana kedudukannya dalam senarai keutamaan hidup? Dalam suasana bulan kemerdekaan ini, naluri ini juga sering gusar terhadap nasionalisme generasi muda dan di mana sifat ini dalam keutamaan hidup mereka?
Perlu diingatkan, kedua-dua faktor ini fitrah memegang manusia dalam semua kejayaan. Ia meletakkan semua tindakan mereka melalui proses dikehendaki agama. Fitrah ini juga menentukan apa sahaja disediakan negara, dipelihara rapi daripada unsur yang boleh memusnahkannya.
Kita ambil urusan jual beli dalam talian sebagai contoh. Jutaan anak muda, termasuk daripada umat Islam, terbabit dengan urusan ini sama ada menjual produk ataupun dalam bentuk penjualan bakat. Semua berlaku tanpa sekatan undang-undang selagi tidak dilaporkan.
Kita bebas memuat turun dan memuat naik, menghantar serta menerima apa-apa mesej dari mana-mana dan ke mana-mana destinasi tanpa perlu minta keizinan atau dalam pengetahuan sesiapa.
Justeru, di sini terletaknya peranan agama, ajaran yang betul dan benar-benar datang daripada rasa takut kepada Allah SWT akan menjadi asas kepada semua perbuatan sama ada secara zahir atau tersembunyi.
Agama akan menjadi neraca asas kepada pengguna teknologi untuk menentukan barang dan bakat dijual, dimuat turun serta dimuat naik itu baik atau buruk di sisi agama.
Pada masa sama, sikap cintakan tanah air atau nasionalisme pula akan membentuk tanggungjawab untuk memastikan semua produk dan bakat atau apa yang dimuat turun serta dimuat naik tidak akan merosakkan negara, sekali gus menjejaskan maruah bangsa.
Kesejajaran agama dan nasionalisme ini disebut berulang kali dalam firman Allah antaranya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu daripada kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang berlaku adil.” (Al-Mumtahanah: 8)
Ayat ini menjelaskan Allah SWT tidak melarang orang beriman untuk berbuat baik, bergaul rapat, bantu-membantu, berkongsi keuntungan dan kebaikan dengan orang musyrik atau kafir dalam satu negara selagi mereka tidak mempunyai niat untuk menghancurkan Islam, memusnahkan masyarakat Islam dan mengusir orang Islam daripada tanah air mereka.
Rasulullah SAW juga bersabda: Demi Allah, (wahai kota Makkah), sesungguhnya engkau ialah negeri paling kucintai! Kalau bukan kerana pendudukmu mengusirku, aku tidak akan meninggalkanmu. (Hadis riwayat Ahmad, Tirmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah)
Jelas, agama dan nasionalisme perlu ditanam sedalam-dalamnya ke dalam jiwa manusia. Ia perlu mampu meresapi diri dan mempengaruhi manusia dalam apa sahaja usaha untuk membangunkan diri serta memakmurkan negara.
Harapan kita, dalam kerancakan generasi muda atau sesiapa sahaja, ketika mereka memaksimumkan faedah melalui sistem teknologi pintar ini, untuk maksud apa sekalipun, agama dan nasionalisme sentiasa menjadi pertimbangan utama dalam penentuan semua bentuk tindakan untung atau rugi. – Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)