Kelebihan, keistimewaan pencinta masjid

 

KEAGUNGAN dan kemuliaan masjid digambarkan secara jelas oleh Rasulullah SAW melalui perbuatan. Banyak peristiwa dapat dikaitkan dengan kecintaan Baginda terhadap tempat suci bagi umat Islam itu.

Justeru, pengakuan mencintai Rasulullah SAW perlu dizahirkan dengan meneladani dan mengikuti ajaran Nabi antaranya sentiasa mempertingkatkan amalan mengimarahkan masjid.

Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Murshidi Mohd Noor, berkata terdapat pelbagai keistimewaan bagi umat Islam yang hatinya sentiasa terikat dan rindu untuk berada di masjid.

“Islam menekankan perihal masjid menerusi ayat al-Quran dan hadis yang menggalakkan orang Islam membina masjid, menerangkan kelebihan solat serta adab khusus ketika berada dalam rumah Allah itu.

“Antaranya, dalam hadis riwayat Bukhari, mereka yang hadir ke masjid akan mendapat pahala solat berjemaah yang kelebihannya adalah memperoleh 27 darjat berbanding solat sendirian.

“Ketika solat berjemaah, apabila imam selesai membaca surah al-Fatihah, lalu menyebut ‘amin’ bersama makmum, lafaz itu bertepatan dengan ‘amin’ malaikat, maka dosa mereka akan diampunkan oleh Allah SWT,” katanya.

Mohd Murshidi berkata, turut digalakkan adalah mengalunkan zikir beramai-ramai sejurus melaksanakan solat berjemaah.

“Dalam hadis riwayat Tirmizi menyatakan majlis zikir adalah satu taman syurga. Begitu juga dalam periwayatan Muslim ada menyebut, Allah SWT akan menurunkan rahmat dan ketenangan ke atas mereka yang berzikir secara beramai-ramai,” katanya.

Beliau menambah, maksud hati terikat kepada masjid itu bukan sekadar sentiasa duduk atau meluangkan masa yang lama di situ.

Menurut tafsiran Imam Nawawi, maksud terikat itu adalah terlalu cinta kepada masjid dengan melazimi solat berjemaah.

Beliau berkata, pengimarahan masjid secara menyeluruh dilakukan sejak zaman berzaman oleh Rasulullah SAW dan sahabat.

“Dalam peristiwa penghijrahan ke Madinah, ketika Baginda SAW pertama kali sampai ke Quba’, Nabi membina sebuah masjid. Selain itu, dalam keadaan bermusafir, Baginda menyediakan tempat khusus untuk solat bersama sahabat seperti dilaksanakan ketika peperangan Khaybar.

“Sehingga detik selepas kewafatan Nabi, sahabat terus memuliakan masjid. Pernah suatu ketika, Umar al-Khattab memerintahkan penguasa di bawah jajahannya membina masjid bagi setiap negeri dan daerah,” katanya.-Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts