PERJALANAN hati bermula di penghujung perjalanan jasad. Bukan bermakna ketika jasad sudah letih dan habis tenaga baru bermula perjalanan hati itu, tetapi ia bahkan adalah apabila pandangan mata dan fizikal mula melangkaui dimensi zahir untuk menanggapi dimensi batin.
Perkara ini boleh difahami daripada surah Al-Hajj :
“Apakah mereka tidak berjalan di atas muka bumi ini hinggakan mereka boleh mempunyai hati yang boleh berfikir, atau telinga yang boleh mendengar? (Ketahuilah) Sesungguhnya yang buta itu bukanlah pandangan matanya, tetapi hati itu yang buta” – Surah Al-Hajj, ayat 46
Allah SWT telah menyebutkan secara jelas bahawa perjalanan yang dilalui seseorang di atas muka bumi ini selayaknya mampu membuka satu lagi pintu pancaindera yang khusus, yang tidak diterokai sebelum ini, iaitu pancaindera jiwa dan hati yang melihat suatu perkara secara hakiki, bukan sekadar apa yang terzahir.
Ini bermaksud pemandangan yang luas, perjalanan yang jauh, dan pengalaman yang banyak sudah pun menjadi saksi dan hujjah ke atas manusia, atas kehadiran Tuhan pada segenap perkara.
Manusia yang dikurniakan akal akan berfikir mengenai perkara di luar kerangka fizikal, kerana akal itu sendiri bukan perkara fizikal. Oleh itu siapa yang memfungsikan akal sebaiknya akan menanggapi perkara di luar kerangka fizikal dan meyakini bahawa keterikatannya yang azali bukanlah pada kerangka fizikal itu.
Atas sebab itulah mungkin kita boleh mula fahami, apabila Allah SWT menyebut dalam hadis Qudsi, bahawa Dia di sisi sangkaan hamba-Nya, itu bermaksud melangkaui sempadan fizikal dan dimensi yang boleh disentuh atau diukur oleh manusia.
Dzon manusia kepada Tuhan, adalah suatu yang cukup tersembunyi, kerana ia bukan sesuatu yang fizikal. Namun ia sedikit sebanyak boleh dilihat petanda dan alamat, yang menjadi bukti bahawa dzon yang baik kepada Tuhan itu subur atau gersang.
Segala ucapan dan respons kita dalam hidup ini adalah salah satu biasan terhadap apa yang kita simpan dalam rahsia kita. Cuba tanya diri masing-masing, kenapa dirinya begini begitu hari ini? Jawapannya dari situ sudah boleh menjadi petanda dan kayu ukur terhadap sejauhmana dzonnya pada Tuhannya.
Dengan demikian kita dapati, berapa banyak sebutan yang diungkap oleh para anbiya’ AS yang direkod dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW, semuanya sedang mengajar kita, bagaimana cara kita berprasangka kepada Tuhan, yang selama ini sering kita abaikan.
“Dan apabila Zakariyya (AS) memasuki mihrabnya (Maryam AS), beliau mendapati di sisi (Maryam AS) ada rezeki (berupa buah-buahan yang datang pada bukan musimnya). Lalu beliau bertanya : Bagaimana engkau boleh dapati makanan ini ? Lalu Maryam menjawab : Ia adalah daripada Allah, sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakinya tanpa hisab” – Surah Ali Imran, ayat 37
Moga Allah memberikan kita prasangka yang baik kepada-Nya, tanpa sebarang hisab.
Wallahua’lam bissawaab
Ustaz Syamil Esa
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)