PUTRAJAYA: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan umat Islam amnya diingatkan agar tidak mengambil pendekatan ekstrem dan melampau dalam usaha membela serta mempertahan kesucian agama sehingga menimbulkan keresahan dalam masyarakat majmuk di negara ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, juga mengingatkan bahawa Malaysia adalah negara majmuk yang sentiasa mementingkan kesederhanaan dan keharmonian dalam hubungan antara kaum dan agama.
Beliau menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk amalan ekstremisme yang boleh menggugat keharmonian kaum, ketenteraman awam dan keselamatan negara.
“Seperti yang diamalkan di negara ini, tindakan tegas berlandaskan undang-undang diambil terhadap pihak yang menyebarkan amalan dan fahaman ekstremisme tanpa mengira agama.
“Dalam usaha kita untuk membela kedudukan Islam dan memelihara kemurnian akidah umat Islam, pendekatan kita mestilah berteraskan prinsip hikmah dan nasihat yang baik,” katanya pada perjumpaan khas bersama pemimpin NGO Islam, di sini, hari ini.
Muhyiddin memetik ayat 125 surah Al-Nahl: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik”.
Yang turut hadir pada perjumpaan berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasrudin Hassan.
Perdana Menteri juga memberi jaminan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan lebih sensitif dan responsif terhadap suara NGO Islam.
Katanya, ada pemimpin NGO Islam menyuarakan kebimbangan kepadanya mengenai cabaran besar dihadapi umat Islam di Malaysia dan dunia, antaranya berkaitan perkembangan baharu dalam pemikiran dan cara hidup masyarakat yang dilihat mengancam akidah dan akhlak umat Islam.
Beliau berkata, ia termasuk pengaruh ideologi liberalisme dan sekularisme Barat yang tidak melihat agama sebagai sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia, sebaliknya lebih mengagungkan kebebasan individu tanpa batasan sehingga melanggar hukum dan syariat Islam.
“Saya juga mempunyai pendirian sama mengenai betapa pentingnya kita memberikan keutamaan kepada usaha untuk mengangkat kesucian agama Islam, memperkasa institusi yang menyumbang kepada kemajuan umat Islam dan memperkukuhkan perpaduan ummah,” katanya.
Muhyiddin berkata, pengaruh ideologi itu mewujudkan pelbagai bentuk gerakan di peringkat antarabangsa dan juga di Malaysia, mendesak supaya pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang Islam dikaji semula.
“Ini merangkumi gerakan yang menuntut supaya sebahagian daripada undang-undang Islam dimansuhkan dan amalan jelas menyeleweng daripada syariat Islam seperti LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) serta ajaran sesat dibenarkan,” katanya.
Perdana Menteri menegaskan, perkembangan itu mewujudkan keresahan dalam kalangan umat Islam di Malaysia dan menyebabkan ramai pimpinan NGO Islam bangkit mempertahankan kemurnian akidah umat Islam dan membela kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan di Malaysia.
Muhyiddin turut berharap agar Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) yang ditubuhkan pada 2009 dapat digerakkan semula oleh barisan kepemimpinan baharu YADIM dalam membantu kerajaan memperkasa usaha dakwah dan tarbiyyah di negara ini.
Penubuhan MAIM mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin untuk menjadi platform penyelarasan NGO-NGO Islam di Malaysia.
Muhyiddin berkata, beliau percaya resolusi yang diserahkan kepadanya oleh NGO Islam pada majlis hari ini, melambangkan keprihatinan dan komitmen pimpinan organisasi terbabit terhadap usaha untuk meningkatkan syiar Islam dan memajukan ummah.
“InsyaAllah, saya akan meneliti dan memberikan perhatian yang sewajarnya terhadap syor-syor yang dikemukakan,” katanya. – Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)