Kuala Terengganu: Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) menyerahkan 110 naskah al-Quran kepada penduduk Orang Asli di dua lokasi iaitu Gua Musang, Kelantan dan di Cameron Highlands, Pahang.
Penyerahan al-Quran itu dibuat pada program Kembara Media ke Cameron Highlands dan ia antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) pertubuhan itu dalam menyantuni komuniti Orang Asli.
Presidennya, Khairul Azlam Mohamad berkata, program pertama kali itu bertujuan membantu penduduk Orang Asli yang memerlukan sumbangan berkenaan.
“KAWAT hanya bertindak sebagai penyampai sumbangan kepada penduduk Orang Asli melalui program kembara yang dianjurkan itu.
“Semua al-Quran bernilai RM3,300 itu disumbangkan Yayasan Amal Malaysia dan Iman Care sempena Program Wakaf al-Quran yang dijalankan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan.
“Kami difahamkan, sebahagian al-Quran yang diagihkan kepada Orang Asli di Cameron Highlands itu akan digunakan bagi kelas mengaji yang bakal dianjurkan di sana untuk penduduk,” katanya.
Khairul Azlam berharap sumbangan al-Quran itu membantu penduduk Orang Asli di Gua Musang dan Cameron Highlands mempelajari al-Quran dengan lebih baik.
“Al-Quran yang disumbangkan itu lengkap dengan terjemahan Bahasa Melayu sekali gus membantu mereka menghayati dan mengetahui makna ayat al-Quran dengan lebih baik.
“Selain menyantuni komuniti Orang Asli, penganjuran program kembara juga dapat mengeratkan hubungan di antara ahli KAWAT dengan keluarga masing-masing,” katanya.
Pada program kembara itu, 51 ahli KAWAT termasuk ahli keluarga menyertainya. -MyMetro
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)