KUALA TERENGGANU – Setiap individu bertanggungjawab memberi sokongan positif kepada pesakit COVID-19 untuk mempercepatkan proses penyembuhan mereka.
Bekas pesakit COVID-19, Badrol Hisham Zaki, 51, berkata, kejian, kecaman dan fitnah hanya akan memburukkan keadaan pesakit dan keluarga sehingga menyebabkan kesan trauma yang menakutkan.
“Pelbagai kecaman dan fitnah saya terima sebaik sahaja disahkan positif COVID-19 pada 25 September lepas hingga menyebabkan perniagaan isteri turut terjejas.
“Namun, berkat doa, mesej dan panggilan telefon yang positif, kasih sayang keluarga dan sahabat handai, ia menguatkan emosi saya untuk terus berusaha melawan COVID-19 ini dan sembuh seperti biasa setelah menjalani rawatan selama 14 hari di Hospital Hulu Terengganu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Badrol Hisham berkata berdasarkan pengalamannya, pesakit COVID-19 akan mudah berasa tertekan terutama di peringkat awal dijangkiti wabak tersebut.
“Tambahan pula pesakit akan bersendirian ketika menjalani proses rawatan dalam bilik yang terasing…waktu inilah pesakit sangat memerlukan sokongan emosi dari keluarga dan rakan terdekat.
“Untuk membina antibodi melawan virus, pesakit perlu sentiasa fokus untuk kembali sihat dan mesti berada dalam keadaan tenang, sentiasa bersangka baik dengan Allah yang telah memilih kita sebagai insan istimewa untuk diuji dengan COVID-19,” katanya.
Beliau juga kecewa kerana persepsi masyarakat terhadap pesakit itu sama seperti pandangan terhadap pesakit kusta yang dipulaukan pada zaman dahulu.
Setakat 12 tengah hari semalam, terdapat 37 kes positif COVID-19 dan 404 individu dalam pemerhatian di seluruh Terengganu.
Sementara itu, seorang lagi bekas pesakit COVID-19, Rubihah Musa 34, berkata masyarakat perlu terus didedahkan dengan ilmu yang tepat mengenai wabak itu agar tidak lagi mengguris hati pesakit dan keluarga mereka.
“Hati siapa tidak terluka apabila diberitahu kedai makan kawan diboikot dan anak-anak diejek di sekolah hanya disebabkan saya positif COVID-19.
“Biarlah pesakit menjalani rawatan dengan tenang, usah menghukum mereka kerana COVID-19 boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira warna kulit, bangsa atau agama. Paling penting, sentiasa beri sokongan dan berdoa pesakit sembuh kerana ini adalah peperangan yang musuhnya tidak kelihatan,” katanya. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)