Bulan Rabiulawal merupakan bulan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Bersempena dengan bulan ini Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia dengan Kerjasama Tarbiah Sentap dan Indahnya Islam mengambil inisiatif untuk mengadakan kempen Remaja Cinta Rasulullah bagi memperingati perjuangan baginda seterusnya menggalakkan remaja untuk mengikuti sunnah baginda SAW.
Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu yaitu orang yang mengharapkan rahmat Allah dan kedatangan hari kiamat dan ia banyak menyebut nama Allah”(Al-Ahzab:21).
Sunnah paling agung yang kita warisi daripada Rasulullah adalah sunnah berdakwah. Bertepatan dengan kenyataan ini tema kempen Remaja Cinta Rasulullah adalah ‘Sunnah teragung adalah berdakwah’.Kempen ini untuk menyedarkan golongan remaja tentang tanggungjawab melaksanakan dakwah yang merupakan tugas mulia diwarisi dari Rasulullah SAW .Oleh kerana itu, remaja perlu menjadikan Rasulullah SAW dijadikan rujukan, contoh teladan dan memahami Sunnah Berdakwah.
Sepanjang kempen berlangsung dari 17 Oktober 2020 sehingga 7 November 2020, terdapat tiga aktiviti yang dijalankan antaranya Kapsul Remaja Cinta Rasulullah, Pertandingan poster dan pertandingan kuiz yang terbuka kepada remaja berusia dari 13 tahun sehingga 17 tahun. Remaja hanya perlu mendaftarkan diri sebagai ahli Kelab Remaja ISMA (KRIM) untuk menyertai semua pertandingan yang dianjurkan. Semua maklumat tentang kempen boleh diperoleh daripada Facebook dan Instagram Kelab Remaja ISMA.
Susulan kenaikan kes COVID 19 dan kebanyakan remaja terpaksa mengehadkan pergerakan masing-masing, kempen ini akan berjalan secara maya di Facebook dan Instagram untuk mendapat capaian yang ramai di seluruh Malaysia.
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)