KUALA LUMPUR: Seni tersebar di luar ruang lingkup sempadan politik dan wilayah geografi dengan penuh kehalusan.
Seni juga menjadi medium ekspresi dan komunikasi paling berkesan sepanjang sejarah kehidupan.
Felo Profesor Manuskrip Timur Tengah di Universiti Melbourne, Prof Dr Amir H Zekrgoo, berkata karyawan seni menjadi duta budaya yang sebenarnya dan memudahkan interaksi antara negara dan membantu mempromosi keamanan serta persaudaraan.
“Seni memberi kesahihan kepada sebuah peradaban tidak kira seberapa maju teknologi dan ia tidak boleh digelar ‘peradaban’ jika tidak menghasilkan dan meninggalkan nilai seni tinggi.
“Tidak dinafikan peradaban tertinggi turut melalui zaman kegelapan, bahkan kesenian pernah mencatat fasa paling gelap dalam sejarah manusia,” katanya kepada BERNAMA dalam wawancara eksklusif di kediamannya di sini, baru-baru ini.
Amir yang juga bekas Profesor Seni Islam dan Oriental di Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Alam Melayu (ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, sejak menetap 40 tahun di banyak negara di Barat, Timur dan negara Islam, beliau berasa bertuah kerana mempunyai pengalaman menyaksikan kepelbagaian dan kekayaan hasil seni mereka.
Amir menekankan kepentingan manuskrip Jawi sebagai warisan Asia Tenggara yang perlu dikongsi.
“Huruf dan manuskrip sejarah yang ditulis dalam Jawi dihiasi dengan unsur mencerminkan nilai estetika, sekali gus harta tersembunyi dalam warisan Islam.
“Terputusnya generasi baharu daripada warisan sejarah mereka yang kaya kerana ketidakmampuan membacanya sesuatu dikesalkan,” katanya.
Ditanya bagaimana Malaysia memberi kesan dalam karya seninya, Amir – yang telah menetap di Kuala Lumpur bersama keluarganya selama lebih 20 tahun – berkata negara ini mempengaruhi karyanya melalui pemikiran dan estetika sehingga beliau menghasilkan sebahagian besar kaligrafinya di Malaysia.
Amir yang juga pakar dalam kajian perbandingan seni keagamaan sedang menterjemahkan Ramayana, satu epik Sanskrit India kuno, ke dalam bahasa Parsi.
Beliau yang pernah tinggal di India selama hampir 10 tahun dan fasih berbahasa Hindi, sudah menghasilkan 16 buku dan lebih 100 artikel dalam bahasa Parsi, Inggeris dan Urdu. – Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)