1. AMAR makruf nahi mungkar adalah salah satu ciri yang menjadikan umat ini istimewa di sisi Allah. Gelaran sebaik-baik umat diberikan kepada umat akhir zaman ini kerana ciri itu.
2. Dengan itu tidak hairanlah jika Syeikh Bin Baz menganggapnya sebagai antara kefardhuan Islam teragong dan Syeikh Ali Jum’ah menganggapnya sebagai rukun Islam keenam.
3. Amar makruf nahi mungkar perlu dijadikan sebagai budaya kehidupan dalam aktiviti harian seorang muslim. Seorang pemimpin ketika memimpin rakyatnya, seorang guru ketika mendidik muridnya, seorang murshid ketika memberikan petunjuk kepada pengikutnya, seorang bapa ketika membesarkan anak-anaknya, seorang suami ketika membimbing isterinya, seorang rakan ketika sedang bersahabat …. dan begitulah juga sebaliknya.
4. Sikap yang akan menghancurkan masyarakat Islam adalah apabila apa juga kesalahan berlaku ia dibiarkan tanpa ditegur. Jika ianya sudah menjadi budaya, hadis memberikan amaran tentang saat keruntuhan masyarakat itu yang akan datang bila-bila masa sahaja.
5. Masyarakat Islam sepatutnya mempunyai sikap ambil berat apa yang berlaku pada jiran sekeliling. Seorang anak kecil yang berjalan di tengah jalan, semua orang di situ kenal siapa ayah dan ibunya. Anak muda malu untuk melakukan perkara tidak senonoh kerana masyarakat akan mengaitkannya dengan ibu bapanya. Sikap ambil berat ini muncul hasil serapan iman di dalam diri hasil dari amalan dan budaya hidup Islam yang lama bertapak dalam masyarakat.
6. Masyarakat Islam sepatutnya terbiasa dengan aktiviti kemasyarakatan (pengajian, gotong royong, kenduri kendara, mengucap salam, berjabat tangan dan sebagainya), mengambil berat hal ehwal kejiranan, benci perkara keji dan suka perkara-perkara baik.
7. Arus liberal masuk ke dunia Islam dengan begitu kuat, menjadikan orang Islam sendiri mula berfikir hanya dalam kerangka maslahah diri sendiri sahaja. Kalau buat baik pun, buat baik seorang diri. Kalau buat silap, tidak suka rakan-rakan tegur dan betulkan. Dan lebih malang, apabila golongan yang dipanggil ‘Islamis’ juga terkena tempiasnya lalu mula menyendiri dan tidak mahu ambil pusing terhadap apa juga perkembangan sekeliling.
8. Jika tidak dilakukan sesuatu, budaya amar makruf nahi mungkar ini akan makin menyepi lalu hilang dari masyarakat Islam. Sebelum ianya berlaku, ambillah langkah sebaiknya. Sekurang-kurangnya bermulalah dengan:
– berusaha sebaik mungkin menjadikan Islam sebagai neraca di dalam mengukur buruk dan baik sesuatu perkara
– tanam dalam diri sikap suka kebaikan kepada diri dan rakan, dan benci keburukan terhadap diri dan rakan … sekurang-kurangnya ahli keluarga terdekat dan rakan-rakan
– tingkatkan kemahiran berkomunikasi supaya makin hari makin ramai kenalan rapat hingga boleh berkongsi kisah peribadi
– tebalkan telinga untuk mampu menerima teguran dan nipiskan mulut supaya ringan untuk memberi teguran … ini pun perlu dilatih juga
9. Semua di atas perlu diusahakan dan dibina. Terutamanya bagi sesiapa yang mendapati dirinya jenis yang tidak mempunyai rakan rapat. Tidak mempunyai rakan rapat adalah petanda seseorang itu suka menyendiri. Suka menyendiri banyak kemudharatan melebihi manfaat. Hindarilah sebaiknya sikap itu.
Ke arah budaya Islam sejati ….
Wallahu a’lam
Ust Muhammad Fauzi Asmuni
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)