Usaha cegah penyakit mengikut ajaran Islam

 

DALAM situasi negara berdepan pandemik koronavirus (Covid-19), umat Islam seharusnya mengawal pergerakan bagi membatasi punca yang boleh membawa kepada penyebaran penyakit.

Timbalan Pengarah Institut Sains Islam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Ahmad Sanusi Azmi berkata, dalam Islam terdapat beberapa panduan berhubung isu pengawalan penyakit yang pernah dibicarakan oleh sarjana Islam.

“Kita hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sekarang ini bagi memastikan usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian Covid-19 berjaya.

“Dalam aspek syariat pula, setiap umat Islam seharusnya mematuhi arahan dikeluarkan pemimpin selagi arahan itu tidak menjerumuskan mereka kepada maksiat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Al-Quran bertajuk Pandemik: Apa SOP era Nabi? yang disiarkan secara langsung dari Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini semalam.

Dalam wacana itu, Dr Ahmad Sanusi bergandingan bersama pakar kesihatan, Dr Zubaidi Ahmad sebagai panelis.

Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail pula bertindak selaku moderator serta menampilkan qari jemputan, Ustaz Husaini Mahmur yang membacakan Surah Al-Balad.

Ahmad Sanusi berkata, menurut perspektif Islam, arahan kuarantin adalah langkah paling tepat kerana Rasulullah SAW juga pernah memerintahkan umat Islam menjalani kuarantin ketika wabak taun melanda untuk mencegah daripada menular kepada individu lain.

“Rasulullah SAW ketika berbicara mengenai wabak penyakit menyarankan agar migrasi dihentikan serta-merta di mana saja dan Baginda SAW pernah bersabda dengan maksud: “Jika kamu mendengar taun (wabak penyakit) di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

“Hadis ini jelas mengajar kita bahawa Rasulullah SAW juga mengambil pendekatan untuk mencegah penyakit dan tidak berserah 100 peratus kepada ALLAH SWT kerana usaha manusia itu adalah penzahiran sebagai seorang hamba,” katanya.

Tambah Ahmad Sanusi lagi, tindakan Rasulullah SAW juga boleh diklasifikasikan dalam bahasa moden sebagai kuarantin agar penyakit atau wabak berkenaan tidak tersebar secara meluas.

“Sebab itu kalau sudah pakai gelang berwarna merah jambu, jangan sesekali pergi makan di kedai mamak kerana ia mendedahkan orang lain kepada mudarat. Pihak berkuasa juga sudah menetapkan kuarantin di rumah selama 14 hari kepada individu terbabit.

“Justeru, kita jangan menjadi ejen kepada penyebaran penyakit. Jangan jadi orang yang menyusahkan orang lain. Semuanya sudah dijelaskan dalam al-Quran dan hadis. ALLAH sudah tunjukkan cara terbaik,” katanya.

Katanya lagi, situasi hari ini turut menyebabkan aktiviti di masjid dan surau dihadkan.

“Dengan ini jelaslah dalam situasi melibatkan penyebaran wabak yang memberi ancaman kepada nyawa, Islam menawarkan keringanan dalam urusan ibadah,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang berita palsu kerana ia boleh mencetuskan kegusaran dan panik dalam kalangan masyarakat. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts