RASULULLAH ﷺ memuji seorang lelaki yang sanggup menyumbang dan bersedekah dalam keadaan dia kedekut kerana masih memerlukan wang tersebut. Sabda Rasulullahﷺ :
أَنْ تَصَدَّقَ وَأَنْتَ صَحِيحٌ شَحِيحٌ تَخْشَى الْفَقْرَ وَتَأْمُلُ الْغِنَى
(Sedekah yang paling besar ganjarannya ialah) Engkau bersedekah ketika sihat sedangkan hatimu berasa sangat kedekut (untuk bersedekah), jiwamu sedang takutkan kemiskinan dan engkau bercita-cita mengharapkan kekayaan. (HR al-Bukhari)
2. Ketika menghuraikan hadis ini, al-Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa manusia pada kebiasaannya akan merasa kedekut dalam keadaan dia sihat dan bercita-cita menjadi kaya. Mereka hanya menyumbang ketika mereka sakit dan telah memenuhi cita-cita mereka sahaja.
3. Dengan itu Rasulullah ﷺ mendidik kita agar sentiasa menyumbang biarpun saat kita memerlukan wang tersebut. Bahkan kesediaan kita menyumbang saat memerlukan menunjukkan kebergantungan jiwa yang tinggi kepada Allah.
4. Al-Imam Ibn Hajar pula menjelaskan bahawa hadis ini menunjukkan keperluan bagi seseorang itu menunaikan hutang mereka saat mereka sedang sihat dan hidup. Jangan ditunggu sakit atau setelah mati baru berharap si waris menyelesaikan hutang buat diri kita.
5. Dalam musim COVID-19 ini ramai di kalangan kita yang kehilangan kerja, begitu juga yang tersekat rezeki mereka disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan. Bantu saudara-mara kita yang kesusahan. Begitu juga orang sekeliling kita sekiranya mereka memerlukan.
Semoga Allah membimbing kita.
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)