SEBAGAI seorang muslim, menjadi kewajipannya untuk mengambil perhatian terhadap apa yang berlaku kepada umat Islam. Apabila kita menyenaraikan peristiwa-peristiwa tragis yang melanda umat Islam sekarang, maka bagi jiwa muslim yang masih sayang kepada Islam, tentu sekali akan bertanya “apa yang saya perlu lakukan sekarang?”.
Jawapannya ialah “kekallah kamu dalam agama Islam” kerana Islam akan menjanjikan kamu harapan, cita-cita dan ufuk yang luas untuk memperbaiki keadaan sedia ada kepada yang lebih baik. Seorang muslim tidak akan sempit dada, daerah kebaikan akan bertambah luas dalam hidupnya dan kebatilan akan bertambah sempit. Amat salah tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan usaha memperbaiki keadaan umat Islam ini hanya perlu digalas oleh hanya kumpulan tertentu sahaja sebaliknya ia perlu digalas oleh semua orang yang masih beragama Islam.
Setiap orang Islam berkewajipan menjadi pendakwah mengikut kemampuannya dengan mengajak orang lain kepada Islam dengan maklumat yang dia tahu kepada orang yang dia kenal terlebih dahulu. Bukan semestinya menggunakan pendekatan berceramah sahaja. Dalam situasi tertentu, seorang itu menjadi pendakwah yang berjaya walaupun ia seorang yang pendiam! Bagaimana ini boleh berlaku?
Sedarkah kita bahawa bukankah al Quran itu membawa peringatan dan mengajak manusia kembali kepada Allah dengan ayat-ayatNya yang dibacakan kepada manusia sebagaimana kematian itu juga merupakan pengajak manusia kembali kepada Allah tanpa suara dan ceramah. Ringkasnya al Quran pemberi peringatan dengan kalamNya, kematian pemberi peringatan secara senyap. Begitu juga dengan orang Islam, ada sebahagian yang mampu berceramah dan ada sebahagian yang masih mampu membuat sumbangan kepada perubahan Islam tanpa berkata-kata, bahkan adakalanya lebih berkesan di zaman ramai pendakwah tergelincir akibat kesan dari keterlanjuran kata-kata mereka.
Persoalannya bagaimana masih boleh menyumbang kepada Islam tanpa kata-kata? Tetap istiqamah dan komited kepada Islam adalah dakwah, sifat amanah kita adalah dakwah, sifat jujur dan benar adalah dakwah, sifat integriti dan ketekunan juga adalah dakwah. Banyak bukti menunjukkan ramai orang tertarik kepada Islam apabila berinteraksi dengan seorang muslim yang berakhlak baik dan jujur.
Banyak mana pun kitab-kitab dikarang, sebanyak mana pun kuliah dan khutbah yang disampaikan, jika tiada orang Islam sendiri menghayatinya secara praktikal yang dapat dirasai oleh orang sekeliling maka hanya kekal tertinggallah ajaran Islam dalam rak-rak buku dan minbar-minbar dan meja-meja kuliah sahaja.
Pertarungan sengit di zaman ini adalah sejauh mana pendokong-pendokong kebenaran bersungguh-bersungguh menguasai medan kehidupan bersaing dengan golongan yang tidak mementingkan soal halal dan haram dalam kehidupan dan golongan liberal.
Sepatutnya setiap individu muslim wajib sedar tanggungjawabnya untuk menguasai dan memenuhi setiap sektor kehidupan ini dengan nilai Islam yang diimaninya. Secara beransur-ansur nilai-nilai kemungkaran akan tersisih dan terpinggir.
Namun dukacita dirasai sekarang ini apabila pendokong-pendokong Islam masih belum sedar atau masih belum cukup bersemangat untuk mempromosi kebenaran yang diimaninya, sebaliknya promoter-promoter kemungkaran rakus dengan aktiviti dan program kemungkaran mereka sehingga dalam situasi tertentu makruf atau kebaikan itu nampak ganjil di mata masyarakat.
Indikator utama dalam masyarakat hari ini yang menggambarkan fenomena di atas antaranya perjuangan hak LGBT semakin diterima oleh masyarakat, ajaran-ajaran utama Islam seperti perkara-perkara yang telah diijmakkan mula diperbincangkan semula, persoalan memilih pemimpin samada pemimpin kafir yang baik adalah lebih baik dari memilih pemimpin muslim yang jahat dan banyak lagi. Ini semua disebabkan golongan muslim yang baik-baik tidak dominan dalam masyarakat bahkan meninggalkan vakum-vakum yang diisi oleh orang-orang yang tidak mementingkan Allah dalam kehidupan mereka. Islam dan ajarannya seolah terpinggir dan hanya melukut di tepi gantang.
S.S. DATO HAJI ZAMRI BIN HASHIM
Timbalan Mufti Negeri Perak
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)