Tugas bapa melindungi anak

 

1. KEBELAKANGAN ini (ketika musim PKP ini sahaja) sudah beberapa kali portal akhbar melaporkan kejadian haruan makan anak. Seakan-akan rumah tangga bukanlah satu tempat yang selamat buat seorang anak kecil. Dalam al-Quran, Allah membayangkan bagaimana peranan seorang ayah itu adalah pelindung buat anak-anak mereka.

2. Al-Quran menjelaskan kepada kita bagaimana Nabi Yusuf menceritakan kepada bapanya Nabi Ya’qub tentang mimpi aneh yang dilaluinya. Nabi Ya’qub menasihatkan Nabi Yusuf supaya jangan menceritakan mimpi tersebut kepada abang-abangnya kerana dibimbangi mereka (abang-abang Yusuf) akan menyakiti Nabi Yusuf. Lihatlah kasih seorang ayah, beliau bukan sahaja tidak menyakiti anak, malah memastikan anak-anak selamat dari ancaman berbahaya.

3. Menurut Abu Hurairah, Rasulullah ﷺ pernah dilihat mencium cucunya al-Hasan. Ketika itu seorang sahabat bernama al-Aqra’ ibn Yabis ada di sisi Rasulullah ﷺ. Tersentuh melihat perlakuan Rasulullah ﷺ mencium al-Hasan, Al-Aqra’ berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai sepuluh orang anak, namun aku tidak pernah mencium mereka. Rasulullah ﷺ lantas menasihatnya lalu berkata:

مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ
“Barangsiapa yang tidak menyayangi, dia tidak akan disayangi.” Hadith ini mengajar kita bahawa, sekiranya kita ingin disayangi anak, kita seharusnya menyayangi mereka dahulu.

4. Al-Imam al-Bukhari pula meriwayatkan satu kisah bagaimana seorang Arab Badawi yang datang berjumpa dengan Baginda ﷺ. Apabila Arab tersebut melihat Rasulullah ﷺ mengucup anak-anak kecil, badawi tersebut berkata:

فَقَالَ تُقَبِّلُونَ الصِّبْيَانَ فَمَا نُقَبِّلُهُمْ
“Apakah kamu mencium anak-anak kecil wahai Rasulullah? Sesunggunya kami tidak pernah mencium anak-anak kecil.”

Rasulullah ﷺ lantas menjawab: ‏ أَوَ أَمْلِكُ لَكَ أَنْ نَزَعَ اللَّهُ مِنْ قَلْبِكَ الرَّحْمَةَ

“Apa yang boleh aku lakukan sekiranya Allah telah mencabut rasa rahmah (kasih sayang) kamu terhadap anak-anak kecil.
Hadith ini menjelaskan kepada kita bahawa Baginda ﷺ amat menekankan kepada umatnya supaya menyayangi anak-anak kecil, sekalipun bukan anak kita. Bahkan sifat tidak menyayangi anak kecil ini digambarkan seperti orang yang telah dicabut sifat kasih mereka oleh Allah.

5. Bahkan Rasulullah ﷺ menegaskan bahawa, mereka yang tidak menyayangi anak-anak kecil adalah bukan dikalangan umat Baginda.

sabda Rasulullah ﷺ:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيَعْرِفْ شَرفَ كَبِيرِنَا

“Bukanlah dikalangan kami mereka yang tidak menyayangi anak-anak kecil kami dan tidak menghormati orang dewasa kami.”

5. Perlakuan menyakiti anak adalah tindakan yang sangat dikeji dalam agama. Kejadian yang berlaku pada hari ini adalah sesuautu yang tidak dapat kita gambarkan bagaimana nafsu boleh menguasai jiwa sehingga seseorang melakukan sesuatu yang lebih teruk dari binatang. Benarlah firman Allah: “Mereka itu seperti binatang, bahkan lebih teruk dari itu.”

Ya Allah lindungilah umat ini. Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my
 
—-—
 
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
 
https://www.billplz.com/indahnyaislam
 
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)
Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts