1. ISLAM mengharamkan arak secara mutlak dan melabelkannya sebagai kepala kepada segala kejahatan. Sabda Rasulullah saw:
اجتنبوا الخمر فإنَّها مفتاح كلِّ شر
“Jauhilah arak kerana sesungguhya ia adalah kunci kepada segala kejahatan.”
2. Kerosakan yang berpunca dari arak sudah pun dibuktikan melalui banyak kajian. Kerosakan dari sudut kesihatan, dari sudut sosial, pembaziran ekonomi, keselamatan warga dan kerosakan dari pelbagai sudut lagi.
Banyak artikel boleh dibaca berkenaan isu ini. Di antaranya adalah tulisan Dr Norzila Baharin di pautan http://www.imedik.org/arak-dan-kesannya/
3. Tetapi kenapa masih ada yang mempertahankan pengilangan dan penjualan arak di negara kita? Kenyataan seperti yang diutarakan oleh Hanipa Maidin ini di antaranya.
https://www.theedgemarkets.com/…/amanah-lawmaker-slams….
Dan mungkin ada banyak lagi kenyataan seumpamanya akan keluar selepas ini.
4. Bagi pengeluar arak, sudah tentu mereka tidak mahu kerugian. Arak adalah sumber pendapatan yang besar bagi mereka. Dijual di seluruh dunia dengan pelbagai harga. Dari semurah-murahnya hinggalah ke yang mencecah ribuan ringgit satu botol. Modal yang rendah, tapi keuntungan yang luar biasa besarnya. Pasarannya pula seluruh dunia tanpa mengira bangsa.
5. Bagi pemimpin negara yang membuat polisi, mereka mungkin sayang dengan hasil cukai dari jualan arak. Itulah juga mungkin punca yang menyebabkan apa juga undang-undang yang akan menyebabkan arak kurang laris susah untuk diluluskan. Lihatlah berapa ramai orang sudah mati dilanggar pemabuk, tapi apa undang-undang yang digubal untuk mengenakan hukuman yang akan menjadikan pemabuk takut untuk memandu?
6. Bagi peminum arak, sekali mereka merasai ‘nikmat’ arak, segala bala di sebalik ‘nikmat’ tersebut mereka akan letak belakang. Nasihatah mereka tentang mudharat pada kesihatan, mereka tak akan dengar. Mabuk arak ini kekal bukan setakat beberapa jam selepas minum tetapi akan songsang pemikirannya seumur hidup. Tidak lagi rasional dalam menilai sesuatu.
7. Bagi Yahudi dan kuasa besar dunia hari ini, arak penting untuk mereka merosakkan dunia. Mereka menyolek arak sehingga menjadi ciri manusia kelas atasan. Arak yang mahal hanya sesuai dihidang di restoren lima bintang dan peminumnya berpakaian kemas. Arak dijadikan salah satu ramuan penting dalam masakan dan dipromosikan di dalam rancangan memasak sehingga lidah orang ramai serasi dengan rasa arak. Arak ditonjolkan sebagai budaya anak muda yang moden. Tidak minum arak bermakna seorang pemuda itu kuno. Arak muncul dalam penajaan sukan dunia. Arak juga menjadi penaja kepada aktiviti amal dan kebajikan.
8. Jika itu alasan mereka semua kenapa mereka mahu arak kekal, apa pula alasan orang macam Hanipa Maidin bila dia mencela pendekatan TS Annuar Musa dalam isu larangan penjualan arak di sesetengah premis perniagaan di Wilayah?
Bagi orang Islam sepatutnya langkah itu dipanjangkan hingga semakin meluas ke negeri-negeri lain dan ke jenis-jenis premis perniagaan yang lain. Kita sepatutnya ada target untuk menjadikan negara sifar arak. Bukan untuk membiarkan arak makin berkembang luas dari hari ke hari. Bahkan orang bukan Islam juga perlu dinasihati dengan sungguh-sungguh supaya meninggalkan arak.
9. Kecintaan kita adalah pada kebaikan dan pelaku kebaikan … bukan pada kejahatan. Kalau pun ada sayang kepada pelaku kejahatan, buktinya hanyalah jika kita menegahnya dari kejahatan …. bukan memperjuangkan haknya untuk meneruskan kejahatan.
Wallahu a’lam
Muhammad Fauzi Asmuni
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)