Al-QURAN merupakan kalam Allah yang menjadi panduan kepada seluruh umat Nabi Muhammad bermula dari penurunannya sehingga kiamat. Amatlah rugi seorang individu Muslim yang hidupnya jauh daripada Al-Quran apatah lagi tidak mahir membacanya. Kebolehan membaca Al-Quran dengan baik adalah pintu kepada memahami isi kandungannya dan pencetus kepada pelaksanaan tuntutannya dalam kehidupan seharian.
Generasi muslim perlu diasuh sejak dari kecil dengan kebolehan membaca Al-Quran sehingga ia sebati dalam kehidupan. Saya melihat kecenderungan yang baik pada hari ini apabila ramai ibu bapa yang bersungguh menghantar anak mereka ke kelas pengajian Al-Quran.
Perkembangan ini menampakkan sinar yang baik dalam pembentukan generasi Muslim sejati. Namun begitu di sana terdapat ruang penambaikan yang boleh dilakukan khususnya dalam menambah minat dan kecintaan anak-anak terhadap ilmu Al-Quran.
Sepanjang pengalaman mengajarkan Al-Quran kepada orang dewasa dan kanak-kanak, saya ingin berkongsi beberapa panduan atau kaedah yang boleh ibu bapa gunakan untuk memupuk minat anak-anak dalam membaca Al-Quran.
1. Bina asas yang kuat : fokus kepada sebutan makhraj yang tepat dan kaedah tajwid yang betul
Pembinaan asas ini adalah sangat penting khususnya di peringkat awal pembelajaran. Jangan diambil mudah dengan kesalahan ini kerana sekiranya dibiarkan, mereka akan selesa dengan kesalahan tersebut sehingga ke dewasa. Penggunaan silibus seperti Iqra’ sudah sangat memadai untuk permulaan. Cuma penekanan perlu dilebihkan untuk mendapat sebutan yang tepat, bukan sekadar mengejar siapa cepat khatam. Fokus kepada makhraj huruf yang tiada dalam sebutan melayu. Sekiranya dikuasai dengan baik, huruf-huruf lain jadi lebih mudah.
2. Latih anak-anak menghafal bermula dengan surah-surah lazim
Anak-anak kecil mempunyai memori yang sangat kuat. Menghafal merupakan perkara yang mudah bagi mereka berbanding orang dewasa. Sebagai permulaan, latih anak-anak untuk menghafal surah-surah lazim dalam Al-Quran bermula dari surah An-Nas sehingga surah Ad-Dhuha.
Dalam proses hafalan ini, fokuskan lebih kepada kualiti bacaan berbanding kuantiti hafalan. Tidak mengapa sekiranya anak perlahan dalam menghafal tetapi biarlah makhraj huruf dan tajwidnya tepat. Kelebihan menghafal ayat-ayat Quran ini sangat membantu mereka apabila mempelajari subjek bahasa arab kelak.
3. Ceritakan kisah daripada surah yang dibaca
Anak-anak sangat teruja dengan cerita. Gunakan kelebihan kisah-kisah yang banyak di dalam Al-Quran untuk menarik minat mereka. Ibu bapa boleh memilih surah atau ayat yang bersesuaian. Minta anak-anak baca dan ibu bapa ceritakan kisah disebaliknya.
Sebagai contoh surah Al-Fiil yang menceritakan perihal tentera bergajah yang datang untuk memusnahkan kota Mekah, namun kota Mekah berjaya diselamatkan bukan daripada tangan manusia sebaliknya oleh burung yang bernama Ababil. Kaedah penceritaan yang kreatif dapat menambah lagi minat anak-anak untuk mengetahui kisah-kisah lain yang terdapat dalam Al-Quran.
4. Kenalkan kepada lagu-lagu Al-Quran
“Hiasilah al-Quran dengan suara-suara kamu.” Demikian sabda Nabi SAW. Pembaca Al-Quran sangat dituntut untuk membacanya dengan suara yang terbaik dan berlagu mengikut lagu-lagu Al-Quran. Anak-anak kebiasaannya gemar dengan nyanyian dan lagu. Amatlah baik sekiranya disalurkan minat mereka tersebut kepada menguasai lagu-lagu Al-Quran.
Dengarkan kepada mereka bagaimana bunyi lagu Bayyati, Hijjaz, Nahwand dan sebagainya (boleh tonton di YouTube). Latih mereka untuk membaca Al-Quran dengan lagu-lagu tersebut mengikut kemampuan mereka. Cuma asas utama jangan dilonggarkan, iaitu makhraj huruf dan tajwid yang benar.
Untuk menambah lagi minat anak-anak, manfaatkan sistem ganjaran (reward) kepada anak yang berjaya mencapai sasaran yang dikehendaki. Sebagai contoh, apabila anak khatam Iqra’ Jilid 1 atau anak berjaya menghafal surah Al-Kafirun tanpa kesalahan besar, berikan mereka hadiah yang mereka idamkan. Ini dapat memotivasikan mereka untuk terus mendaki ke peringkat yang lebih tinggi.
Semoga sedikit perkongsian ini dapat memberikan manfaat kepada saya dan semua ibu bapa. Akhir sekali harapan kita tidak lain hanyalah untuk menyuburkan cinta anak-anak terhadap Al-Quran semenjak kecil. Semoga kelak apabila mereka dewasa, Al-Quran dan diri mereka berpisah tiada.
Sabda Rasulullah:
“Dan dipakaikan kedua ibubapanya dengan perhiasan yang tidak boleh dinilai dengan isi dunia. Lalu kedua ibubapanya bertanya: Wahai Tuhan, mengapa kami diberikan nikmat ini? Lalu dijawab kepada mereka: Kerana engkau mengajar anakmu al-Quran.” (HR al-Tabrani)
Ustaz Hakim Adzman
Mentor Al-Quran Isma Sepang – Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)