1. TERKADANG kita selalu bersenang-senang dan melakukan maksiat lalu mengharapkan syurga yang paling tinggi sedangkan Rasulullah mengingatkan kita agar berusaha dan merancang untuk ke syurga. Sabda Rasulullah:
من خاف أدلج، ومن أدلج بلغ المنزل، ألا إن سلعة الله غالية، ألا إن سلعة الله الجنة
“Barangsiapa yang takut (ditimpa kesusahan dalam perjalanannya), maka dia akan bertolak awal dan cergas. Barangsiapa yang bertolak cergas dia akan sampai pada destinasinya. Ketahuilah bahawa barang dagangan Allah itu sangat mahal. Ketahuilah bahawa barang dagangan Allah itu syurga? (HR al-Tirmiz)
2. Menurut al-Imam al-Tibi, hadis ini adalah satu perumpamaan yang diberikan oleh Rasulullah agar kita merancang dan berusaha bersungguh untuk mencapai destinasi syurga. Kita hendaklah merancang, bertindak keluar awal dan bergerak cergas bagi mencapai destinasi akhirat kerana syurga Allah itu mahal. (Tuhfah al-Ahwazi)
3. Para sahabat terdahulu berjuang bermatian bagi mencapai redha ilahi. Rasulullah pernah menangis ketika melihat penampilan Mus’ab di Madinah yang meninggalkan kemewahan hidupnya semata-mata kerana memperjuangkan Islam. Perkara ini diceritakan oleh Saidina Ali yang menyebutkan:
إِنَّا لَجُلُوسٌ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي المَسْجِدِ إِذْ طَلَعَ مُصْعَبُ بْنُ عُمَيْرٍ مَا عَلَيْهِ إِلَّا بُرْدَةٌ لَهُ مَرْقُوعَةٌ بِفَرْوٍ، فَلَمَّا رَآهُ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بَكَى لِلَّذِي كَانَ فِيهِ مِنَ النِّعْمَةِ وَالَّذِي هُوَ اليَوْمَ فِيهِ
“Ketika kami sedang duduk di Masjid, lalu datang Mus’ab ibn Umayr dengan pakaian yang bertampal. Apabila Rasulullah melihat Mus’ab, Baginda menangis kerana mengenangkan kehidupan mewah yang pernah dinikmati oleh Mus’ab.” (HR al-Tirmizi).
4. Ketika suasana sengit dalam Perang Uhud, Mus’ab jualah antara pejuang yang mempertahankan Rasulullah. Beliau memegang panji Islam dengan tangan kanannya. Musuh datang lalu menebas tangan Mus’ab sehingga putus.
5. Ketika lalu dihadapan jenazah Mus’ab yang syahid di medan Uhud, Rasululullah sangat sebak. Baginda terkenangkan perjuangan Mus’ab yang menjadikan dirinya semuanya untuk Islam. Baginda lalu membacakan ayat:
مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ
Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.
6. Tidak dinafikan bahawa Allah berhak melimpahkan rahmatNya kepada sesiapa sahaja untuk mengurniakan syurga, namun secara fitrahnya Rasulullah sendiri berusaha keras memartabatkan Islam bagi mendapatkan redha Allah dan dijanjikan syurga yang mahal.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)