Layanan mesra Muslim di Hotel Adya Langkawi

 

1. MUSLIM itu ada gaya hidupnya yang dihias indah dengan panduan Al-Quran dan Sunnah. Sebelum pergi melancong, dia akan memerhatikan ekosistem sokongan untuk tinggal di tempat yang bersih, menunaikan solat, mendapat makanan halal dan berhibur secara patuh syariah. Atas 4 asas inilah konsep Layanan Mesra Muslim (LMM) wujud, dan kini telah diperincikan dalam MS2610: 2015 Layanan Mesra Muslim terbitan Jabatan Standard Malaysia.

2. Saya berpeluang melawat Hotel Adya Langkawi yang diiktiraf sebagai Hotel Mesra Muslim oleh INHART UIA. Kami diberi taklimat selama sejam dan dibawa melawat fasiliti, termasuklah kolam renang khas wanita dan executive suite.

3. Hotel bertaraf 4 Bintang MoTAC ini dibina sepenuhnya dengan pembiayaan kewangan Islam. Seni binanya beridentitikan Islam. Mereka membayar zakat perniagaan, mewajibkan pakaian patuh syariah (bagi pekerja Muslim), menyediakan masjid-transfer percuma pada hari Jumaat dan menyajikan makanan yang dipersijilkan halal. Pakaian di kolam renang pula adalah bebas selagi menutup aurat.

4. Bangunan Hotel Adya yang strategik di Kuah ini juga disulami dengan sapaan salam dari para staf, alunan ayat suci Al-Quran, siaran azan setiap kali masuk waktu dan majlis solat fardu berjamaah.

5. Menurut pegawai Hal Ehwal Islam Hotel Adya, konsep LMM dipilih atas lima tujuan; memohon berkah dari Allah SWT, memenuhi keperluan pengembara Muslim, memanfaatkan segmen LMM yang sedang pesat berkembang, memperkasakan ekonomi tempatan dan menyampaikan keindahan Islam.

6. Salah seorang dari kami bertanya tentang penerimaan pelancong dalam dan luar negara terhadap konsep LMM ini. Menariknya, daripada jumlah 190 buah bilik, occupancy rate Hotel Adya adalah 75%-85% selama 3 tahun berturut sebelum musim Covid-19. Pengunjung mereka adalah 40% tempatan dan 60% luar negara. Dari pelancong luar negara itu, 50% adalah dari Arab dan 50% adalah dari China.

7. Konsep LMM menyebarkan kebaikan kepada para pekerja dan pengunjung. Antara keluhan pekerja hotel yang pernah saya dengar adalah mereka hanya dibenarkan menunaikan solat Jumaat sekali dalam 3 minggu, diminta mengendalikan minuman keras dan isu pemakaian patuh syariah bagi wanita. Saya optimis pengunjung bukan Islam dapat menerima konsep ini kerana ia unik, mesra keluarga dan menampilkan kesopanan tinggi.

8. Ya, mungkin buat masa ini, pelaksanaan konsep LMM akan melibatkan kos tambahan, seperti 2 kolam renang, 2 orang pool life guard mengikut jantina dan lantikan pegawai hal ehwal Islam. Namun, jika pulangannya lumayan, maka kos tidak menjadi isu lagi. Sebenarnya, konsep Non-Shariah Compliant juga perlukan kos tambahan, contohnya kos cuci muntah orang mabuk. Dari situ, muncul dry-hotel movement.

9. Kepada yang sedang merancang percutian, anda disyorkan mencuba konsep LMM ini. Alangkah indahnya percutian yang diniatkan sebagai ibadah, dan semakin menghampirkan diri kita kepada Tuhan.

Oleh: Bilal Jailani

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts