KUALA LUMPUR – Sebarang salah laku dalam proses mengeksport daging halal untuk pasaran tempatan perlu diteliti dan diperbetulkan semula.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kementeriannya bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan sentiasa membuat pemantauan dari masa ke masa selain membuat semakan bagaimana syarikat terbabit mendapat kelulusan.
Katanya, dua perkara utama yang perlu diambil kira iaitu undang-undang dan pengesahan Jakim.
“Apabila menyalahi undang-undang, maka salahlah dan perlu diperbetulkan.
“Isu kedua pula, ada perkara yang tidak perlu kepada halal Jakim sebagai contoh apabila membabitkan sembelihan korban kita tidak perlu dapatkan pengesahan Jakim, katanya ketika sidang akhbar selepas program penyampaian sumbangan barangan makanan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di sini, pada Sabtu.
Bagaimanapun katanya, sijil halal Jakim perlu jika membabitkan jumlah sumber daging yang banyak seperti di hotel bagi mengelakkan kekeliruan,” katanya.
Ketika ditanya bagaimana kerajaan dapat memberi jaminan mengenai daging import yang halal, Zulkifli berkata, orang ramai boleh merujuk senarai kilang halal yang dikeluarkan oleh Jakim.
Beliau berkata, soal proses pengimportan daging yang turut membabitkan agensi lain juga telah dijelaskan melalui Facebook dan laman sesawang miliknya.
“Bukan semua produk import itu tidak halal malah ada yang sudah dikenal pasti mematuhi pensijilan halal ditetapkan. Orang ramai boleh merujuk senarai rumah abatoir dan loji pemprosesan luar negara yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia menerusi laman www.dvs.gov.my,” katanya.Sebelum ini, Sinar Harian membongkar taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia.
Kegiatan itu terbongkar dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai, Johor pada 1 Disember lalu yang diketuai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor bersama agensi penguatkuasa lain.-Sinar Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)