Mulakan tahun baru dengan penuh keazaman dan husnuzzon pada Tuhan

 

SEMPENA kehadiran tahun baru ini, suka untuk saya ingatkan diri dan sahabat untuk meneliti beberapa perkara :

1. Tahun baru itu di sisi kita, namun pena takdir Tuhan itu telah terangkat sejak awal kejadian.

Apa yang berlaku pada masa lalu dan akan datang, adalah manifestasi Rahmat Tuhan yang Maha Mengetahui ke atas segala perkara. Keesokan hari adalah jelas di sisi Tuhan ibarat jelasnya hari semalam.

Jika dinisbahkan perkara yang dicerap itu dengan ilmu kita, kita tidak mampu menanggungnya. Namun jika dinisbahkannya kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa, kita akan mudah untuk redha mengharunginya.

Jangan sekali menyalahkan takdir, dan jangan pula menduga takdir. Ia adalah rahsia Tuhan, bagi menguji para hamba-Nya, tidak kira martabat apa sekalipun.

Segala yang berlaku hakikatnya sudah pun berlaku di dalam ilmu Tuhan. Kita hanyalah ibarat catur di papan catur, bagi menzahirkan sebuah keagungan, keadilan, rahmat dan kebijaksanaan Tuhan pada penghujung zaman.

2. Hari yang baru adalah satu bentuk peluang untuk berubah, dan juga hujjah ke atas manusia yang akan dihisab pada hari akhirat.

Siapapun kita di masa lalu, ambillah kesempatan hari baru untuk menghalatujukan semula diri di atas ‘wijhah’ yang betul. Selagi matahari tidak terbit dari barat, selagi itu pintu rahmat Allah tidak tertutup untuk menerima taubat para hamba-Nya.

Jangan sekali-kali menyahut seruan iblis dan kuncunya untuk bertangguh, atau berputus asa daripada rahmat Allah. Mulakan langkah dengan sebuah tekad dan keazaman, bersedialah untuk membayar sebuah perubahan, dan percayalah bahawa Tuhan tidak akan mensia-siakan hamba-Nya yang benar.

Ingat betul-betul saranan Nabi SAW : “Sekiranya engkau benar-benar ‘benar’, maka Allah akan membenarkanmu”.

Ramai manusia mahukan perubahan, tetapi tidak ramai yang mampu membayar harganya. Ya kita memang tidak mampu, jadi mintalah pada Tuhan untuk bayarkan harganya.

Mintalah pada Dia, untuk langsaikan ‘hutang-hutang’ kita pada sesiapa yang kita zalimi, kotori, kasari, dan apa-apa sahaja yang belum terlunas, bagi sebuah penghijrahan diri.

3. Kita akan mengharungi sesuatu yang bersesuaian dengan keadaan kita, secara emosi, fizikal dan rohani.

Jika kita mahukan ketinggian, tinggikan jiwa. Mahukan kemuliaan, muliakan ia. Jika mahukan kehinaan, maka hinakanlah ia.

Tadabburlah alam ini, kita akan bawa kepada kesimpulan itu.

Kesimpulan bahawa setiap kejadian alam itu dicipta dengan tujuan agar manusia memilih ketinggian, keagungan, kemuliaan dan kesempurnaan.

Bercakaplah dengan matahari, bulan dan bintang, gunung ganang, laut dan sungai, burung-burung dan haiwan-haiwan, kita akan dapati semuanya menyeru kita bagi menyempurnakan satu tugasan.

Ajari diri untuk memilih perkara yang tinggi, ajari dia untuk menolak dan membenci perkara-perkara kecil.

Hanya jiwa yang tinggi, akan mampu menanggung beban yang berat.

Hanya jiwa yang tinggi, mampu mencerap keagungan dan kebijaksanaan Yang Maha Tinggi.

Hanya yang tinggi, yang boleh mengenal Tuhan.

Selamat menyambut tahun baru, khusus bagi jiwa-jiwa yang menanam keazaman.

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Syamil Esa

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts