Scam poligami atau scam hawa nafsu?

 

SCAM poligami ini adalah nama lain kepada kebaculan spesis lelaki yang tahu bahawa mereka tidak akan melepasi syarat-syarat berpoligami yang diperuntukkan di dalam Enakmen Syari’ah negeri masing-masing.

Ia merupakan satu pilihan mudah kepada majoriti para lelaki atau suami yang tidak rasa berdosa menzalimi isteri pertama atau isteri mereka.

Ia juga satu bisnes ‘haram’ yang mempergunakan agama Islam sebagai alasan untuk merasionalkan tindakan pelanggaran undang-undang dan juga memperdayakan pasangan atau salah seorang pasangan yang jahil dan tidak sabar.

Sekiranya dilakukan oleh orang-orang yang berlatar belakangkan agama sekalipun, ia bukan ‘fatwa’ yang boleh diguna pakai.

Tuduhan bahawa pihak yang menyusahkan dan menyukarkan poligami adalah pejabat agama atau mahkamah Syari’ah sangat tidak bertanggungjawab dan sangat berprejudis.

Ia hanya akan dilontarkan oleh puak liberal feminis atau lelaki yang terhalang hajatnya untuk menikmati ‘paha ayam’ yang lebih sedap dan lazat daripada yang sudah tersedia di rumah.

Kursus-kursus pra-perkahwinan juga tidak akan mampu menyekat scam poligami ini daripada berlaku.

Saya tidaklah mengatakan bahawa sistem sedia ada sekarang paling sempurna, tetapi masih boleh diperbaiki dan dipertingkatkan.

Seseorang lelaki atau suami yang bertanggungjawab dan cintakan isterinya akan membuat permohonan rasmi untuk berpoligami di Mahkamah Syari’ah.

Syarat-syarat yang dikenakan mungkin kelihatan ketat atau berat kepada pihak pemohon, akan tetapi peruntukan-peruntukan tersebut bertujuan untuk melindungi kepentingan isteri (dan secara tidak langsung) kepada anak-anak yang masih di bawah tanggungannya.

Topik kehidupan berpoligami dan perceraian juga yang sangat berkaitan dengan isu ini, tetapi ia lebih sesuai disentuh dalam penulisan lain. Insya-Allah sekiranya berkesempatan, saya akan menulis tentang isu-isu ini.

Saya pernah menyaksikan satu perbicaraan untuk berpoligami ketika saya menjadi seorang peguam Syar’ie di Selangor satu masa dahulu. Di saat sang suami sedang ‘disoal siasat’ oleh Hakim, isteri pertama dan bakal madu boleh bercubit-cubitan pulak di galeri awam!

Juga satu kes lagi di mana permohonan dibuat oleh pasangan yang tidak mempunyai anak (bersebab daripada pihak isteri) dan jawatan atau gaji si isteri adalah lebih tinggi daripada si suami, yang berkerja sebagai kerani sahaja!

Dalam kedua-dua kes di atas, Hakim membuat keputusan membenarkan permohonan tersebut dan malah mendoakan lagi keberkatan perkahwinan pasangan-pasangan berkenaan.

Dalam scam poligami ini, wang tidak akan menjadi masalah. Tetapi yang mendominasi pemikiran pihak yang mengambil jalan mudah ini adalah ‘Hawa Nafsu’, bukan yang bersifat syahwat semata-mata tetapi hawa nafsu yang telah mempengaruhi akal, jiwa dan hati pihak-pihak yang terlibat.

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mungkin tidak ada kuasa untuk menyiasat kes-kes ini disebabkan halangan bidang kuasa dan pihak berkuasa agama Islam juga mungkin terbatas atas sebab yang sama.

Ataupun juga operasi mereka sangat licik hingga sukar dikesan untuk diambil tindakan. Allahu a’lam.

Saya berpandangan, isu scam poligami ini tidak boleh diperhalusi atau dikupas secara terpencil kerana pendekatan seperti ini tidak akan membawa sebarang penyelesaian yang berkesan.

Fenomena ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas, dengan menyentuh aspek-aspek sosial, ekonomi, pendidikan, sistem nilai dan aliran-aliran ideologi dan politik semasa yang mengelilingi kehidupan masyarakat dan umat Islam secara umum pada hari ini.

Setiap aspek saling berkait antara satu sama lain.

Adalah tidak wajar juga untuk kita ‘memaksa’ Islam supaya menyelesaikan sesuatu masalah yang ditimbulkan oleh sistem nilai, ideologi atau perundangan yang datang bukan daripada petunjuk Allah.

Terdapat keperluan mendesak untuk mengislah pemikiran masyarakat dan umat Islam dengan kefahaman yang betul mengenai Islam, tanpa dipengaruhi oleh sebarang ideologi songsang (atas apa jenama sekalipun) dan tanpa ditentukan oleh hawa nafsu.

Gerakan-gerakan liberal, feminisme dan kebebasan mutlak, yang lahir daripada falsafah akal tanpa bimbingan wahyu Allah termasuk di dalam senarai ancaman terhadap umat Islam dan institusi kekeluargaan umat ini.

Satu institusi halal yang dibenarkan oleh Syara’ iaitu poligami (apabila dilaksanakan dengan jujur dan bertanggungjawab) kini telah di-mangsa-kan dan dipersalahkan akibat dorongan hawa nafsu pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Di saat terdapat sebahagian wanita Islam menolak poligami (yang boleh dimaafkan sekiranya mereka jahil), berlaku pula scam poligami ini yang hanya menguntungkan pihak-pihak yang menolak mentah-mentah amalan poligami ini, hanya atas dorongan kebencian dan kejengkelan mereka terhadap Syari’at Islam seluruhnya!

Scam poligami ini sebenarnya merupakan satu lagi manifestasi ancaman yang dihadapi oleh umat Islam, yang perlu dihadapi dengan membongkar dan menghancurkan akar umbi kemungkaran yang sudah bertapak lama di dalam masyarakat Islam.

Pengerusi Ikatan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (iPeguam)
Mohd Luttfi Abd Khalid

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts