DHAKA– Myanmar bersetuju dengan permintaan Bangladesh untuk memulakan penghantaran balik pelarian Rohingya pada suku kedua tahun ini, lapor Agensi Anadolu memetik pegawai pada Selasa.
Perkara itu dimaklumkan pada rundingan tiga pihak yang menyaksikan China sebagai perantara.
“Kami mahu ia dimulakan pada suku pertama tahun ini, tetapi Myanmar minta diberikan lebih banyak masa untuk mengatur logistik dan beberapa perancangan lain. Jadi, kami mahu ia dimulakan pada suku kedua, dan mereka bersetuju,” kata Setiausaha Luar Bangladesh Masud Bin Momen selepas rundingan itu.
China akan memberikan vaksinasi COVID-19 percuma kepada penduduk Rohingya pada fasa pertama program penghantaran pulang itu.
Beberapa hari sebelum itu, Menteri Luar Bangladesh AK Abdul Momen berkata “penghantaran balik satu-satunya jalan keluar untuk mengakhiri krisis Rohingya dan tiada alternatif lain.”
Sementara itu, Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan dikeluarkan kemudian berkata “Myanmar telah membuat semua perancangan yang diperlukan dan menegaskan kesediaan Myanmar untuk menerima semula pelarian Rohingya.”
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak memperincikan tarikh tertentu untuk penghantaran pulang bermula.
“Projek Perintis sedang dijalankan untuk penghantaran pulang itu. Myanmar bersedia untuk memulakan proses mengenal pasti pelarian yang akan terlibat dalam Projek Perintis itu,” tambah kenyataan itu.
Rohingya yang terlibat perlu mengisi dan menandatangani borang bahawa mereka dengan rela hati mahu dihantar balik serta akan mematuhi undang-undang Myanmar sedia ada. Selain itu, Myanmar mahu Bangladesh perlu memastikan tiada sebarang ancaman pengganas ketika program dilaksanakan.
Sebelum ini dua usaha penghantaran pulang cuba dilakukan di bawah perjanjian dua hala antara Bangladesh dan Myanmar yang ditandatangani pada 2017 tetapi gagal mencapai sebarang hasil, walaupun Myanmar berulang kali memberi jaminan bersedia untuk menerima semula Rohingya yang dihantar balik.
Menurut Amnesty International, lebih 750,000 pelarian Rohingya, yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, melarikan diri dari Myanmar dan menuju ke Bangladesh susulan kekejaman tentera Myanmar terhadap komuniti minoriti Islam, pada Ogos 2017. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)