TUMPAT: Tindakan kerajaan mengehadkan jemaah ke masjid untuk mendirikan solat dan beribadah bukan bertujuan mengabaikan soal tuntutan agama, sebaliknya menjaga kepentingan agama.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata pada masa sama, pendekatan itu bagi mengelak daripada Islam difitnah.
“Apa kita buat hari ini sesuai dengan norma baharu, kita tidak mengabaikan soal tuntutan agama kerana paling penting, pelbagai kaedah dilaksanakan semoga kita terus bermunajat walaupun tidak dapat ke masjid seperti kebiasaan.
“Bayangkan jika tular jangkitan di masjid apabila kita membenarkan jemaah hadir tanpa prosedur operasi standard (SOP), orang akan menganggap masjid tempat penyebaran virus.
“Maka, tugas kita adalah menjaga kepentingan agama termasuk menjaga agama daripada terfitnah,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan bantuan Tabung Musaadah COVID-19 JAKIM-Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), hari ini.
Beliau mengulas mengenai keluhan pihak tertentu yang mendakwa kerajaan melaksanakan SOP ketat mengawal aktiviti dan ibadah di masjid serta surau sehingga dikatakan mewujudkan diskriminasi kepada umat Islam.
Mengulas lanjut, Marzuk berkata, pihaknya juga sentiasa menyemak dari semasa ke semasa jumlah jemaah ke masjid berdasarkan situasi terkini penularan COVID-19.
“Kita tidak kekal dengan satu SOP saja. Jika kes menurun, jumlah jemaah akan meningkat namun sekarang kita terpaksa ketatkan semula memandangkan jumlah kes COVID-19 semakin meningkat,” katanya.
Ditanya mengenai kaedah rawatan Islam dalam usaha merawat pesakit COVID-19, Ahmad Marzuk berkata, soal rawatan sampingan boleh dilaksanakan tetapi perlu digabungkan antara kedua-duanya.
“Pertama, perubatan moden ini sebahagian daripada cara Islam merawat sebenarnya. Jangan kita terkeliru rawatan Islam meminggirkan rawatan secara saintifik secara moden.
“Yang kita buat di hospital itu ‘ikut cara agama’. Cuma yang dimaksudkan barang kali rawatan tambahan seperti doa ruqyah dan sebagainya itu dibolehkan tetapi jangan menafikan rawatan secara saintifik ini.
“Ini kerana Islam itu agama berdasarkan bukti. Apa yang kita buat di hospital ini adalah berdasarkan bukti, ada vaksin, kita makan ubat, itu berlandaskan bukti,” katanya. -Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)