BARU-BARU ini kecoh di kalangan netizen apabila ada dari kalangan pemimpin politik tanah air yang menjalani pembedahan Bariatrik kerana berlaku perubahan saiz dan berat badan yang ketara. Namun, perbincangan kita pada hari ini bukanlah berkaitan tindakan pemimpin tersebut benar-benar menjalani pembedahan atau hanya mengamalkan diet terancang. Kita juga tidak membincangkan segala cerita-cerita belakang di kalangan netizen mengenai pembedahan Bariatrik ini.
Apa yang diinginkan dari penulisan ini adalah untuk membuka mata rakyat mengenai pendekatan pembedahan Bariatrik dalam menangani isu obesiti. Berdasarkan rekod, sebanyak 60 % rakyat Malaysia menghidap masalah obesiti atau kegemukan di mana negara kita sedang berhadapan secara serius pada ketika ini. Antara penyumbang utama kepada masalah obesiti di kalangan rakyat Malaysia ini adalah faktor pemakanan dan cara hidup yang tidak aktif.
Obesiti bermaksud memiliki berat badan yang melebihi julat normal di mana ukuran berat badan normal ditentukan melalui pengiraan Body Mass Index (BMI). Obesiti boleh menyumbang kepada peningkatan kematian selain risiko kesihatan yang lain seperti Diabetes Mellitus, darah tinggi, Dyslipidemia dan penyakit koronari.
Berbalik kepada cara berhadapan dengan obesiti, sesetengah hospital menyediakan khidmat klinik obesiti di mana klinik ini mengumpulkan pakar perubatan endokrin, pakar bedah Bariatrik, pegawai nutrisi, dan pegawai Fisioterapi dalam mencapai objektif rawatan terhadap obesiti ini. Semua pendekatan diguna pakai baik dari segi pengawalan pengambilan makanan dan nutrisi, latihan fizikal, pengawalan penyakit dan penggunakan kaedah pembedahan dalam mencapai objektif menghalang, merawat dan mengurangkan komplikasi dari obesiti serta meningkatkan kualiti hidup pesakit.
Data menunjukkan bahawa pengurangan berat pesakit hanyalah sekitar 5% berat badan, namun pesakit mampu mencapai pengurangan sehingga 30% jika pembedahan Bariatrik ini dilakukan. Apa yang penting adalah pemilihan pesakit yang sepatutnya menjalani pembedahan untuk mencapai manfaat yang optimum dari rawatan obesiti ini.
Mereka yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi harus menjalani rawatan yang intensif, merangkumi pelbagai komponen intervensi kelakuan, terapi farmakologi dan pembedahan Bariatrik. Mereka yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi adalah mereka yang mempunyai BMI 35 ke 40 kg/m2 terutama yang berusia muda iaitu antara 20 hingga 39 tahun.
American Bariatric Society pada tahun 2004 telah memperincikan golongan yang harus menjalani pembedahan Bariatrik iaitu:
1. Orang dewasa yang mempunyai BMI > 40 kg/m2
2. Orang dewasa yang mempunyai BMI 35 hingga 39.9 kg/m2 dan mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit serius (Diabetes Type 2, obstructive sleep apnea, hypertension, hyperlipidemia, obseity hypoventilation syndrome, pickwickion syndrome, non-alcoholic fatty liver disease, non-alcoholic steatohaptitism, psuedotumour cerebri, ashtma, gastroesophageal reflux disease, venous stasis disease, kencing tidak lawas yang serius, arthritis) yang mengganggu kehidupan dan penyusutan kualiti hidup.
Mereka yang akan menjalani pembedahan Bariatrik ini juga perlu dipastikan terlebih dahulu mengubah cara hidup dan pemakanan kepada cara yang sihat. Tanda kepada kesungguhan mereka dapat diukur melalui pengurangan berat badan sebelum menjalani pembedahan. Mereka yang gagal mengurangkan berat badan dan tidak menunjukkan usaha yang positif tidak akan diletakkan sebagai calon untuk menjalani pembedahan kerana risiko kegagalan rawatan amat tinggi.
Kesimpulannya, mereka yang menjalani pembedahan Bariatrik ini tidaklah tergolong dalam golongan yang mengubah ciptaan Allah sebagaimana yang dinyatakan di dalam Surah An-Nisa’ (Ayat 119):
وَلأُضِلَّنَّهُمْ وَلأُمَنِّيَنَّهُمْ وَلآمُرَنَّهُمْ فَلَيُبَتِّكُنَّ آذَانَ الأَنْعَامِ وَلآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللّهِ وَمَن يَتَّخِذِ الشَّيْطَانَ وَلِيّاً مِّن دُونِ اللّهِ فَقَدْ خَسِرَ خُسْرَاناً مُّبِيناً
“Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah”. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata (Surah An-Nisa’, Ayat 119)
Sebaliknya mereka ini disebut sebagai pesakit yang sedang mendapatkan rawatan untuk mengelakkan komplikasi yang berbahaya kepada diri mereka dengan memilih kaedah pembedahan Bariatrik.
Wallahu a’lam.
Dr Muhammad Irfan Salmi,
Aktivis Isma Kuantan
Ikon Professional Huffaz (Profazz)
Pensyarah Pelatih UIAM Kuantan
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)