MANUSIA dinamakan insan kerana sifat lupa yang ada padanya. Kunci kepada manusia dinamakan hati (qalb) kerana manusia sering bersifat berbolak balik. Ada masanya dia kuat untuk taat dengan syariat dan ada masanya dia lalai.
Dalam keadaan itu, caranya untuk sampai kepada redha Allah hanyalah satu; iaitu mujahadah dari dirinya sendiri.
وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِين
“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”
(Al-Ankabut: 69)
Tidak ada jalan pintas untuk sampai kepada redha Allah. Tidak ada juga perantaraan dari manusia lain. Usaha mujahadah sendiri yang lahir dari keperitan usaha dan kesabaran jiwa itulah yang akan menyampaikan.
Sesetengah manusia mengambil jalan pintas untuk memperbaiki kelalaian dirinya sebelum ini. Tetapi usaha itu tidak langsung membebankan dirinya, dengan erti tiada mujahadah diri melawan nafsu, tiada unsur menahan sabar dan tiada keperitan yang ditanggung.
Ada yang menginfakkan lebihan hartanya yang memang dia tidak perlu ketika dia tahu bahawa ajalnya sudah sampai. Sedangkan sebahagian ulamak bertegas bahawa harta orang sakit yang pasti menuju kematian, adalah tergantung kepada permilikan waris.
Ada yang mencari duit dengn cara syubhat kemudian menginfakkan sebahagiannya ke jalan Allah untuk tujuan ‘pembersihan’. Sedangkan ulamak menyebut harta syubhat bermanfaat untuk penerima, tetapi tidak akan memberi manfaat kepada penyumbang yang mengusahakannya.
Ada yang berharap syafaat dari ulamak di akhirat nanti. Lalu menumpukan diri mendapat redha di hati ulamak tersebut dengan cara mencium tangannya, menyarungkan kasutnya, memimpinnya berjalan, menjamunya, membelikan keperluannya dan sebagainya. Sedangkan nasib ulamak itu sendiri di akhirat nanti tidak siapa yang tahu. Jika baik nasibnya, hanya beberapa yang akan beroleh limpahan syafaatnya … dan belum tentu siapa siapakah mereka itu.
Salah satu sunnah Rasulullah saw yang baik untuk pendosa bertaubat mencari semula redha Allah adalah khidmat kepada masyarakat Islam dan manusia amnya. Ini kadang-kadang dipandang sepi oleh ramai dari manusia yang lalai.
Saya kongsikan di sini beberapa hadis sebagai sandaran.
Sabda Rasulullah saw:
من كان في حاجة أخيه كان الله في
حاجته
“Sesiapa yang menunaikan keperluan saudaranya, maka Allah akan menunaikan keperluannya.”
(Riwayat Muslim)
Sabdanya lagi:
والله في عون العبد ما كان العبد في عون
أخيه
“Allah membantu seorang hamba selama hamba itu membantu saudaranya.”
(Riwayat Muslim)
Ketika ditanya kepada Rasulullah saw berkenaan amal yang paling dicintai Allah, Rasulullah saw menjawab:
أحب الناس إلى الله أنفعهم للناس، وأحب الأعمال إلى الله سرور تدخله على مسلم تكشف عنه كربة أو تقضي له دينا أو تطرد عنه جوعا، ولأن أمشي مع أخ في حاجة أحب إلي من أن أعتكف في هذا المسجد، يعني مسجد المدينة شهرا، ومن كظم غيظه ولو شاء أن يمضيه أمضاه ملأ الله قلبه يوم القيامة رضى، ومن مشى مع أخيه في حاجة حتى يقضيها له ثبت الله قدميه يوم تزل الأقدام.
“Manusia yang paling dicintai Allah adalah yang paling bermanfaat kepada manusia. Amalan yang paling dicintai Allah adalah kegembiraan yang engkau masukkan ke dalam hati seorang muslim; dengan cara mengeluarkannya dari kepayahan, atau melangsaikan hutangnya, atau menghilangkan kelaparannya.
Jika aku berjalan bersama seorang saudara muslim untuk menunaikan keperluannya, itu lebih aku cintai dari beriktikaf di masjid Nabawiku ini selama sebulan. Sesiapa yang menahan marah yang boleh dilepaskannya, maka Allah akan memenuhi jiwanya di akhirat nanti dengan keredhaan. Sesiapa yang berjalan untuk memenuhi keperluan saudara muslimnya, Allah akan meneguhkan kedua kakinya di hari akhirat yang bergoncangan semua kaki manusia.”
Memenuhi keperluan muslim adalah amal yang berat. Ia memerlukan pengorbanan masa, tenaga, kesabaran, pengurusan emosi yang luar biasa, pengurusan tenaga kerja yang menyeluruh, penguasaan maklumat, kecekapan beraksi di medan yang adakalanya sukar dan merbahaya, kepenatan fizikal yang luar biasa, terdedah kepada fitnah dan sebagainya. Hanya orang yang tabah yang mampu melakukannya. Dan ia sudah tentu lebih sukar dari sekadar mengharap syafaat ulamak, atau infak lebihan harta yang sudah memang akan dilepaskan.
Saya menyeru kepada mana-mana muslim yang mempunyai kecintaan untuk kembali kepada Allah dari kelalaian lampau, agar menghampirkan diri semula kepada Allah dengan cara ini. Berilah khidmat kepada masyarakat Islam dan manusia amnya. Ramai manusia yang memerlukan sumbangan masyarakat Islam untuk terus hidup di bumi bertuah ini. Pastikan kita bertaubat dengn cara yang paling menyampaikan kepada maksud.
Di sinilah mungkin rahsia kenapa sebahagian ulamak bersetuju dengan kaedah:
الثواب علي قدر المشقة
“Pahala diberikan atas kadarnya kepayahan amal itu.”
Wallahu a’lam.
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)