Jiwa-jiwa wanita yang bangkit berjuang

 

WANITA ISMA mengucapkan Selamat Hari Wanita buat semua wanita. Tema Wanita Bangkit Mendepani Cabaran dilihat sangat dekat dengan situasi wanita masa kini yang sentiasa berhadapan dengan pelbagai cabaran. Wanita yang kuat berjuang adalah wanita yang kuat jiwanya. Wanita yang kuat berjuang adalah wanita cekal hatinya.

Hidup ini penuh dengan perjuangan. Untuk menang dalam perjuangan, wanita perlu berpegang dengan prinsip.  Sejarah Islam telah memaparkan ramai contoh-contoh wanita pejuang seperti Siti Hajar, Masyitah, Zinnirah, Asiah, Khaulah, Ummahat al mu’minin dan ramai lagi.

Walau mereka berdepan dengan cabaran dan tekanan yang cukup berat tetapi prinsip tetap di pegang. Akidah dan maruah tidak digadai walau diuji dengan kematian. Diri rela disiksa asal tauhid tetap dikekal dibibir dan di dada.

Contohilah kekuatan jiwa Masyitah yang tetap teguh dengan akidah walau diuji dengan kezaliman Firaun. Seorang Masyitah yang sanggup  mengorbankan diri dan anak-anak demi mempertahankan akidah. Beliau lebih takutkan Allah berbanding ancaman Firaun yang menyediakan minyak panas untuk mereka sekeuarga.

Bagi Masyitah, nilaian akidah tidak boleh diperjudikan untuk kehidupan yang sementara. Akidah adalah hidup matinya. Akidah adalah nyawanya. Jiwa seperti Masyitah yang kita mahukan tatkala ini.

Contohilah kekentalan Siti Hajar tatkala beliau sabar dalam menghadapi kepayahan dan kesusahan dirinya yang ditinggalkan di padang pasir dengan anak yang kecil dengan hanya berbekalkan sebekas kurma dan sekantung air bukan senang untuk dilalui.

Apabila bekalan Siti Hajar habis, berlari-larilah Siti Hajar antara bukit Safa dan Marwa mencari-cari air.

Mana mungkin seorang yang tidak punya jiwa yang kental mampu melalui kepayahan-kepayahan tersebut. Walau begitu sulit dan payahnya Siti Hajar pada saat itu, namun baginda tetap reda tanpa mengeluh walau sedikit pun atas apa yang berlaku.

Dari manakah kekuatan Siti Hajar dalam mengharungi kepayahan ini? Ya semuanya dari rasa tawakal yang tinggi dan penyerahan yang mutlak kepada Allah SWT.

Contohilah Zinnirah,  ditawan dan dijual di sebuah pasar di Mekah dan akhirnya dibeli oleh Umar Al-Khattab untuk dijadikan hamba.

Walau fizikal Zinnirah kelihatan seorang yang lemah, tetapi dari segi spiritualnya beliau mempunyai jiwa yang cukup kental dan tabah. Beliau antara yang awal memeluk Islam secara sembunyi-sembunyi.

Tercatat dalam sejarah bahawa golongan yang pertama memeluk Islam inilah yang banyak menerima ujian daripada Allah SWT. Pelbagai seksaan dikenakan terhadap Zinnirah setelah tuannya tahu akan keislamannya.  Pukulan, hentakan, sepak terajang adalah perkara biasa dalam kehidupan Zinnirah.

Malah beliau dijemur di tengah-tengah panas terik padang pasir dan badannya dihempap pula dengan batu yang besar. Kemuncak penderaan yang diterima Zinnirah ialah matanya dicucuk dengan besi panas. Mata beliau dibutakan hanya kerana imannya kepada Allah SWT. Beliau kehilangan kedua-dua matanya dan terpaksa mengharungi hidup dengan penuh kegelapan.

Demikianlah contoh wanita yang cekal dalam perjuangan. Dunia bukanlah pilihan. Di saat pelbagai cabaran melingkari kehidupan, wanita tetap perlu menjaga dan mempertahankan prinsip, akidah dan maruah.

Dunia kini penuh dengan pelbagai godaan dan ujian buat wanita. Kesempitan hidup, tekanan kewangan, kepenatan merupakan cabaran untuk meneruskan kehidupan. Bagi sesetengahnya, ia adalah teramat berat untuk ditanggung.

Namun ingatlah duhai wanita, bersabarlah dengan ujian. Dekatkanlah diri kepadaNya. Pohonlah jalan keluar dariNya. Usah tergoda dengan keindahan dunia yang sementara.

Ini kerana nabi SAW ada bersabda; “Dunia merupakan penjara bagi orang yang beriman dan syurga bagi orang yang kafir”.

Dalam kehidupan dunia, setiap orang mukmin dipenjara dan dihalang daripada syahwat yang haram dan melalaikan. Dalam masa yang sama, wanita juga dituntut untuk melakukan perbuatan ketaatan yang berat.

Namun, begitu, di kehidupan akhirat kelak dia akan berehat daripada semua ini.

Dan semua itu akan berubah sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah SWT berupa nikmat-nikmat yang berkekalan dan juga kerehatan yang sebenarnya tanpa berkurang apa pun.

Maka, orang yang menang dalam perjuangan adalah orang yang berpegang dengan prinsip yang betul. Prinsip wanita muslimah adalah akidahnya, agamanya, maruahnya dan jatidirinya.

Wanita Waja.. Teguh Berjuang Hadapi Cabaran.

Dr Suriani Sudi
Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

 

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts