Perlukah masyarakat Islam kepada pertubuhan bukan politik?

 

RATA-RATA kita maklum peranan yang dimainkan oleh parti-parti politik di dalam pembangunan negara. Parti-parti politik memainkan peranan dalam memelihara perjalanan negara dari sudut pembuatan polisinya, pentadbirannya dan lain-lain lagi. Secara umum, persaingan dari parti-parti politik memberikan masyarakat pilihan untuk mendapatkan pimpinan terbaik untuk negara. Dari situ terbentuknya barisan kepimpinan dan seterusnya barisan pentadbir yang menguruskan negara.

Di sana terdapat juga peranan yang dimainkan secara senyap oleh pertubuhan-pertubuhan selain dari parti politik terutamanya di dalam menjaga kestabilan kehidupan sosial ekonomi masyarakat. Ia jarang dibincangkan mungkin atas beberapa faktor antaranya kerana jauhnya pertubuhan-pertubuhan ini dari lensa kamera, kesan yang ditinggalkan oleh pertubuhan ini tidak membekas dalam masa yang pendek dan mungkin juga kerana pertubuhan selain dari parti politik jarang terlibat dengan isu-isu panas tanahair.

Kestabilan masyarakat adalah antara matlamat penting yang ditekankan oleh Islam. Allah menerangkan kerja yang perlu disempurnakan selepas mendapat kuasa di dalam firmannya:

الذين إن مكناهم في الأرض أقاموا الصلاة وآتوا الزكاة وأمروا بالمعروف ونهوا عن المنكر ۗ ولله عاقبة الأمور

“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”
(Al-Hajj: 41)

Banyak objektif kehidupan sosial ekonomi masyarakat yang tidak bergantung kepada tindakan parti politik atau kepada penguatkuasaan polisi. Di antara yang mungkin boleh disenaraikan di dalam ruang yang terbatas ini:

1. Budaya amar makruf nahi mungkar

Ia adalah satu budaya yang menjadi teras kepada kestabilan di dalam masyarakat Islam. Sifat benci kemungkaran dan suka perkara kebaikan adalah sifat orang Islam yang mesti sentiasa ditekankan oleh pertubuhan-pertubuhan selain parti politik melalui aktiviti kemasyarakatan yang pelbagai. Dilaknat orang Yahudi di dalam al-Quran antaranya adalah kerana budaya mereka membiarkan segala kemungkaran berlaku depan mata. Melahirkan masyarakat yang berbeza budaya dengan Yahudi bukanlah satu kerja mudah. Tetapi itulah yang Allah kehendaki dari masyarakat Islam. Dari budaya inilah lahirnya budaya kerjasama di dalam masyarakat, budaya ambil berat kebajikan jiran, budaya saling kenal mengenali antara satu sama lain, budaya bertegur sapa, budaya takaful dan lain-lain budaya sihat yang sepatutnya wujud di dalam masyarakat.

2. Kehidupan berkeluarga yang sihat

Islam mementingkan institusi keluarga. Ia memandang tinggi peranan ibu bapa, pembinaan dan pendidikan anak-anak, kebahagiaan keluarga, kesucian nasab, hubungan mesra suami isteri dan masa depan generasi muda. Perkahwinan adalah sunnah para Nabi as. Barat cuba menghancurkan institusi kekeluargaan dengan mempromosi cara hidup bebas, sifat individualistik yang tinggi, takutkan kefakiran akibat tanggungan anak-anak dan pelbagai cara lagi. Pertubuhan bukan politik memainkan peranan yang berat sebenarnya jika ia menjadikan kehidupan keluarga yang sihat ini sebagai salah satu dari objektifnya. Ia terpaksa melawan pelbagai konvensyen antarabangsa semata-mata untuk mencapai objektif kekeluargaan ini.

3. Sifat kemandirian di dalam individu

Salah satu cabaran dalam pembinaan sifat manusia adalah sifat mandiri. Maksudnya kemampuan seseorang untuk berdikari di dalam mencari rezeki, menguruskan diri dan keluarga dan menguruskan urusan masyarakat sekeliling. Sifat ini semakin hilang sekarang ini menyebabkan ramai manusia hidup dalam tekanan hanya kerana sedikit masalah. Atau terbelenggu di dalam masalah diri dan tidak mampu untuk keluar mencari penyelesaian walau pun mungkin penyelesaiannya hanya duduk di sebelahnya sahaja.

Ust Muhammad Fauzi Asmuni, [09.03.21 11:09] Pertubuhan bukan politik boleh memainkan peranan menghidupkan jiwa anak muda hingga mampu mempunyai ketahanan diri bagi menghadapi kehidupan yang makin hari makin mencabar. Adakalanya ia tidak perlu kepada polisi di parlimen pun. Apa yang perlu cumalah sentuhan kepada jiwa anak-anak muda yang dikumpulkan dalam beberapa siri bimbingan yang berterusan.

4. Budaya mencintai ilmu dan ilmuwan

Islam adalah agama yang wahyu pertamanya turun berkenaan membaca. Ia adalah satu-satunya agama yang meletakkan ilmu di kedudukan yang amat tinggi sehingga sanggup ia belajar dari tamadun-tamadun luar semata-mata untuk menjadikan ilmu sebagai landasan dalam kehidupan. Tetapi kita lihat hari ini, Barat menolak kita ke arah kebodohan. Mereka memperkenalkan kepada umat Islam metodologi ilmu yang salah hingga akhirnya yang bergelar ilmuwan itu sendiri masih lagi tidak pandai. Pertubuhan bukan politik boleh meletakkan salah satu tanggungjawabnya untuk melahirkan masyarakat yang mencintai ilmu yang benar dan menjadikan belajar itu satu budaya; samada melalui pendidikan formal atau tidak formal. Masyarakat yang terus belajar hingga mati adalah masyarakat yang tidak akan dikalahkan oleh mana-mana kuasa luar. Banyak aktiviti pembelajaran tidak formal yang boleh dihidupkan oleh pertubuhan bukan politik, dan sebahagiannya tidaklah memerlukan modal kewangan yang banyak. Apa yang perlu hanyalah stamina yang tinggi dan istiqamah.

Dan ada banyak lagi objektif sosial ekonomi di dalam masyarakat yang boleh dimainkan oleh pertubuhan bukan politik.

Kempen ‘Buy Muslims First’ yang selalu kita laungkan, tidak perlu kepada kempen parti politik pun untuk dijayakan di dalam masyarakat.

Membina rantaian ekonomi umat Islam yang tersendiri juga boleh dimainkan oleh pertubuhan bukan politik kerana ia berkait dengan struktur dan agensi-agensi yang sentiasa wujud di dalam masyarakat walau berubah tampuk pemerintahan negara dari satu parti ke parti yang lain.

Objektif pertubuhan bukan politik biasanya adalah objektif jangka jauh. Ia tidak mampu untuk diukur dalam tempoh yang pendek kerana sebahagian dari objektifnya berkait dengan pembudayaan yang sudah tentu memakan masa yang panjang untuk dilihat kesannya. Dengan itu penting untuk pekerja-pekerja pertubuhan bukan politik ini untuk mempunyai ketahanan jiwa dan stamina yang tinggi.

Kesan yang akan ditinggalkan oleh pertubuhan bukan politik di dalam masyarakat adalah kesan yang mendalam jika ia dilakukan dengan senyap, tekun, sabar dan tenang. Perlahan tapi pasti. Dan apabila ianya tercapai, untuk pihak lain mengubahnya, mereka juga perlukan masa yang panjang dan lama.

Kisah pemuda Kahfi dan tidurnya Nabi Uzair as selama 100 tahun adalah contoh perubahan pasti yang berlaku di dalam masyarakat selepas satu tempoh yang panjang.

Kepada pekerja pertubuhan bukan politik, buatlah kerja dengan tenang. Jauhi propaganda yang berlebihan. Sabarlah dalam menuai hasil. Sentiasa fikir tentang kesinambungan kerja oleh generasi seterusnya kerana masa yang diperlukan adalah panjang melebihi usia pekerja itu sendiri. Buat kerja dengan betul walau pun susah, dan elakkan melakukan kerja secara semberono walau pun mudah. Ingatlah bahawa masyarakat Islam sentiasa memerlukan anda.

Allahul Mustaan.

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts