Beban kerja di mahkamah dapat dikurang jika ramai hindari dosa

 

IPOH– Beban kerja di mahkamah dapat diringankan jika lebih ramai individu menghindarkan diri daripada melakukan dosa dan kejadian jenayah menurun, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini.

Namun, titah baginda, ketika ini ramai individu tidak takut melakukan dosa dengan mereka yang melakukan pelbagai jenayah menjadikan mahkamah sebagai gelanggang untuk menegakkan benang basah serta tergamak untuk terus berbohong walaupun telah melafazkan sumpah untuk bercakap benar di kandang saksi.

“Sering terjadi, ketika dihadapkan ke muka pengadilan, insan yang telah melakukan dosa mencari pelbagai alasan dan menggunakan pelbagai hujah mahu menafikan perbuatan mereka.

“Mereka bersedia membayar fi guaman yang tinggi yang sering kali pula dibiayai daripada wang yang diperoleh melalui sumber jenayah atau hasil daripada perlakuan dosa,” titah baginda pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Hakim-Hakim Syariah Negeri Perak serta Ahli Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perak (MAIPk) di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di sini.

Titah baginda, realiti yang berlaku hari ini memberi gambaran bahawa masih ramai umat Islam yang belum menghayati ajaran agama itu sepenuhnya.

Perbuatan jenayah tidak dapat dikurangkan melalui penambahan pegawai penguat kuasa, mahkamah dan penjara, namun lebih berkesan ditangani melalui pendekatan menyemaikan nilai-nilai Islam secara berkesan dan dihayati dalam jiwa, titah Sultan Nazrin.

“Perbuatan menipu, mencuri, menyeludup, pecah amanah, rasuah dan lari daripada membayar cukai merupakan antara perlakuan jenayah terhadap organisasi, syarikat atau kerajaan.

“Perlakuan jenayah-jenayah tersebut turut memberi implikasi perlakuan dosa terhadap pemegang kepentingan entiti-entiti berkaitan, sama ada mereka terdiri daripada pemegang saham, pemilik syarikat atau rakyat sesebuah negara,” titah baginda lagi.

Pada majlis itu, baginda berkenan menyampaikan watikah kepada 12 hakim iaitu tiga yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Utama Syariah, tujuh sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, serta masing-masing satu sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan Ketua Pendaftar Mahkamah Utama Syariah.

Baginda turut berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada Wan Mohammad Afiq Wan Arisfatillah dan Ezatul Farita Rohawi, selaku ahli MAIPk yang juga mewakili belia.

Pelantikan Ezatul Farita juga bermakna MAIPk kini mempunyai tiga ahli wanita.

Sultan Nazrin bertitah buat pertama kali baginda memperkenankan pelantikan dua orang mewakili belia sebagai ahli MAIPk dengan mengambil iktibar daripada pelbagai sumber berhubung peranan penting golongan remaja mencipta sejarah.

“Golongan belia perlu diberikan kepercayaan untuk terlibat secara aktif, berada di barisan hadapan, meremajakan program-program di bawah anjuran Majlis dengan menyuntik dinamisme baharu.

“Golongan remaja wajib didampingi, suara golongan remaja wajib didengari, pandangan golongan remaja wajib difahami, kehadiran golongan remaja wajib diiktiraf,” titah baginda.

Titah Sultan Nazrin, usaha itu bertujuan menjadikan program yang dianjurkan atas nama Islam, lebih relevan sehingga dapat menarik penyertaan lebih ramai remaja untuk berjinak dalam aktiviti di masjid dan program atas nama Islam. – Bernama

 

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts