1. PORTAL akhbar Samudera melaporkan bagaimana Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mengeluarkan kenyataan mempertahankan hak asasi pekerja seks. Dato’ Dr Madeline Berma dipetik menyatakan: “pekerja seks di Malaysia bukan sahaja didiskriminasi malah dianggap melakukan jenayah.”
2. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya SUHAKAM ini menimbulkan kekeliruan apabila hak pelacuran dianggap sebagai hak yang mesti diberikan kepada sebahagian manusia malah kenyataan ini seakan membawa maksud industri pelacuran tidak boleh dianggap sebagai satu kesalahan. Dibimbangi nanti, pengedar dadah juga menuntut agar hak kebebasan mesti diberikan kepada mereka untuk mencari rezeki.
3. Disinilah titik perbezaan yang jelas antara pendirian syariat dan corak pemikiran liberal. Golongan liberal menganggap manusia mesti diberikan ruang kebebasan dalam memilih bidang pekerjaan termasuk menjadi pelacur atau hak pekerja seks sedangkan syariat Islam meletakkan garis panduan yang jelas berhubung perkara ini.
4. Islam mengangkat nilai wanita begitu tinggi dan menyelamatkan mereka dari menjual maruah mereka. Anehnya golongan liberal memperjuangkan pula kebebasan hak pelacuran bagi seorang wanita. Bukankah perjuangan liberal ini menjatuhkan maruah wanita?
5. Larangan melibatkan diri dalam industri pelacuran telah jelas melalui ayat-ayat yang melarang perlakuan zina. Allah mengeji pengamal zina dan menyifatkan zina sebagai seburuk-buruk perlakuan (Surah al-Isra:32). Malah Rasulullah memelihara wanita daripada terjebak dalam industri zina ini. Sabda Rasulullah:
لا مُسَاعاة في الإسلام، مَن سَاعى في الجاهلية، فقد لحق بعصَبَته
“Tiada pelacuran dalam Islam. Sekiranya seseorang melakukannya pada zaman Jahiliah maka anak yang diperolehi akan dinasabkan kepada Tuannya (hamba perempuan tersebut).” (HR Muslim).
7. Bahkan di dalam kaedah Usul Fiqh, para sarjana Islam telah meletakkan satu kaedah khas dalam menangani perkara ini. Kata mereka:
وما ادى الى الحرام فهو حرام
“Sesuatu yang membawa kepada haram adalah haram”
Iaitu sekiranya pekerjaan pelacuran ini membawa kepada zina yang telah diharamkan, maka industry sex work (pelacuran) ini sudah tentu haram. Anehnya golongan liberal memperjuangkan pula sex work ini.
8. Islam memuliakan wanita, mengangkat wanita pada kedudukan yang tinggi. Islam memelihara maruah wanita dari dinodai. Apa yang diperjuangkan oleh liberal seakan merendahkan hak wanita. Memberikan hak yang keliru dalam mempertahankan pelacuran.
9. Bahkan sekiranya seorang wanita tersebut sudah terlanjur menjadi pelacur sekalipun, sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun. Dalam sebuah hadith, Rasulullah menjelaskan bagaimana Allah memberikan ganjaran terhadap pelacur yang memberi minum kepada anjing. Begitu tinggi nilai yang Islam letakkan kepada hambanya yang kembali kepada kebenaran.
Semoga Allah membimbing kita semua.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)