Ayuh beramal! Pintu syurga telah dibuka

 

RAMADAN tiba, Ramadan tiba, Ramadan tiba”, Nasyid nyanyian Opick sudah mula kedengaran di corong-corong radio, masih teringat ketika masih belajar di Mesir, ketika itu kelihatan di setiap jalan dipasang lampu-lampu berwarna warni, dan dipenuhi ‘fanus’ atau lampu khas yang dipasang ketika bulan Ramadan. Masjid dipenuhi manusia setiap masa, di waktu berbuka ramai-ramai ke masjid menikmati Maaidah Rahman ataupun sajian daripada Ar-Rahman (Allah SWT).

Walaupun dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat, tampak kemeriahan bazar Ramadan dan surau-surau menjadi penuh apabila bermulanya bulan Ramadhan, manusia mula berlumba-lumba mengambil nombor giliran untuk tarawih, dan menghidupkan solat dan bacaan quran di rumah buat yang menunggu giliran.

Suatu suasana yang menyinggah umat Islam setahun sekali, buat tempoh sebulan.

Maka dibacakan di seantero masjid sepotong hadis riwayat Bukhari dan Muslim:

إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ

“Apabila tibanya Ramadhan, maka dibuka pintu Syurga, ditutup pintu neraka, dan digari syaitan,”

Hadis yang ringkas, namun mempunyai pengertian yang mendalam.

Pengertian yang hanya boleh difahami melalui hati yang hidup dengan keimanan, andai ditulis berbuku-buku berkaitan hadis ini, tidakkan difahami melainkan seseorang mempunyai secebis keimanan di dalam hatinya.

Hadis ini menceritakan perihal syurga yang dibuka pintunya, memanggil-manggil mereka yang ingin memasukinya.

Hanya mereka yang beriman, yang mempercayai wujudnya syurga akan berharap masuk ke dalamnya, hanya mereka yang ingin berjumpa Allah di akhirat kelak memahami bahawa jalan berjumpa Allah dan menatap wajah ‘Azzawajalla’ hanyalah melalui pintu syurga Firdaus!

Hanya mereka inilah jiwanya akan terpanggil-panggil mengejar syurga, meronta-ronta jiwanya mengejar kasih ilahi, tidak tenang andai tidak mujahadah bersungguh-sungguh beribadah di dalam hari-harinya. Impian jiwanya jelas, inginkan redha Allah, ingin bersama Nabi Muhammad ﷺ di syurga, dan berehat di sana.

Adapun jiwa yang lemah imannya, yang masih tidak kuat mempercayai Allah sentiasa memerhati, masih tidak mempedulikan yang halal, haram, syubhat.

Masih ‘selamber’ melakukan maksiat tanpa takutkan Allah, apabila dibuka pintu syurga tidaklah terpanggil, tiada beza. Hanya berubah kerana masyarakat berubah sedikit. Jiwanya tidak inginkan akhirat, tidak ingin bersama Allah.

Kerana mereka impikan syurga di dunia, dunia yang mempunyai kenikmatan nafsu dilihat sebagai suatu yang cukup sempurna, andai bergaji tinggi, boleh menikmat pelbagai makanan, berhibur dengan set televisyen yang besar, melihat siri-siri netflix, sudah memuaskan hatinya. Kenikmatan syurga yang berlipat kali ganda tidak diimpikan, seolah segala impian sudah tercapai di dunia yang fana.

Bila keimanan terhadap Allah serta hari akhirat (syurga) menipis dan kecintaan dunia menebal, maka jiwanya akan merasakan akhirat suatu yang jauh, dunia di hadapan matanya tidak dipercayai akan hancur binasa, dia akan gagal mempercayai akan dibangkitkan semula di mahsyar, dan akan ditanya di akhirat kelak apakah kebaikan dan keburukan dirinya, maka pantas ketakutan azab api neraka tampak hanya untuk golongan kafir Quraisy!.

Maka tatkala pintu neraka ditutup, tidak sedikitpun hatinya merasa aman, tidak sedikitpun merasakan akan dihisab atau berkemungkinan diazab. Tiada perubahan dalam hidup dan jiwanya.

Apatah lagi andai dirantai syaitan.. Apa kisah? Ibarat tiada beza buat hati yang lalai dan kukuh sifat syaitan dalam dirinya.

Hadis yang ringkas, namun jiwa yang beriman akan tersentap dan bersungguh beramal, pintu syurga telah dibuka, pintu neraka telah ditutup, syaitan telah dibelenggu! Ayuh beramal! Ayuh beramal!

Ustaz Mohd Suhail Mohd Sufian
Naib Pengerusi Majlis Ulama Islam ISMA (MUIS)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts