PUTRAJAYA– Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meminta umat Islam di negara ini agar tidak menularkan video yang dipercayai mengandungi iklan judi bersempena Aidilfitri yang dilihat boleh membawa kesan buruk.
Menurut kenyataan Jakim hari ini, jabatan itu memandang serius isu berkenaan dan menentang keras perbuatan tersebut yang telah menimbulkan kegusaran dan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat, khususnya umat Islam.
“Justeru, Jakim menyokong usaha pihak berwajib dalam mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam perkara ini mengikut lunas undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” demikian menurut kenyataan itu.
Jakim turut menasihati umat Islam agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti perjudian, termasuk membantu mempromosikan kegiatan itu yang jelas bertentangan dengan hukum syarak.
Video iklan berdurasi dua minit itu tular menerusi media sosial yang antara lain mengajak orang ramai meraih wang berganda dengan menggunakan perkhidmatan sebuah syarikat perjudian bagi mendapatkan dana untuk menyambut hari raya.
Terdahulu hari ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dilaporkan telah meminta penyedia platform media sosial seperti Facebook, Twitter dan YouTube agar menurunkan iklan yang mengajak umat Islam di negara ini berjudi bagi mendapatkan dana untuk balik kampung bersempena Aidilfitri. – Bernama
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)