TANAM dirimu dalam tanah ‘tersembunyi’, kerana benih yang tidak ditanam tidak akan sempurna pertumbuhannya
Demikian adalah salah satu bait daripada kata-kata hikmah oleh salah seorang guru sufi agung, Ibnu Athaillah As-Sakandari. Ia merawat jiwa seorang salik yang berjalan menuju Allah SWT, termasuklah daripada golongan itu adalah para pendakwah dan pencinta agama.
Kebelakangan ini, populariti dan kemasyhuran telah menjadi sebahagian daripada fenomena yang zahir pada zaman teknologi yang serba canggih ini. Kita sedia maklum bahawa itulah makanan harian para selebriti dan artis yang memang periuk nasinya bergantung kepada populariti untuk sentiasa ‘survive’ dalam kehidupan mereka.
Namun fenomena ini dikhuatiri sedikit sebanyak sudah mula meresap di dalam jiwa para pencinta agama, dan pejuangnya dengan pelbagai bentuk, dan pelbagai jenis alasan.
Jangan salah sangka, saya tidak bermaksud para pejuang agama perlu duduk di belakang dan membiarkan medan diisi oleh perosak agama. Jauh sekali saya maksudkan untuk meninggalkan seruan amar makruf dan nahi mungkar yang penuh strategik dan memenuhi ruangan para mad’u yang pelbagai dalam segenap lapangan.
Saya hanya ulas mengenai fenomena cintakan kemasyhuran dan populariti, suka dikenali dan disanjung tinggi, dan mendapat tempat yang istimewa dalam hati masyarakat.
Ya, ia perkara yang batin dan hanya diketahui oleh pemilik tubuh badan sendiri, saya juga tidak terkecuali kerana saya juga sebahagian daripada anda semua.
Pesanan ini, yang menuntut untuk kita menyembunyikan diri dalam tanah yang tidak dikenali, perlu dinilai dalam kerangka yang benar, yakni beliau memaksudkan agar kita perlukan masa untuk membesar dan berkembang, sebelum memasuki medan pertembungan yang sebenar.
Proses pembinaan itu sukar dan panjang, dan ia memerlukan masa bahkan ‘murabbi’ dalam membina sosok tubuh jiwa yang bersedia.
Jika tumbuhan yang baru bertunas dibiarkan tanpa pagar, sudah pasti akan dikais anjing atau kucing. Demikianlah juga jiwa daie yang muda, jika dibiarkan tanpa kawalan dan jagaan, akan mudah dihanyut arus deras godaan dunia.
Kita perlu sentiasa muhasabah keberadaan kita di atas muka bumi ini. Kemasyhuran dan pujian manusia semuanya akan hilang, jika itu yang kita inginkan. Manusia yang berdiri atas kemasyhuran, akan tumbang dengan kemasyhuran dan populariti suatu hari nanti.
Atas sebab itu niat, himmah dan kemahuan dalam perjalanan yang panjang ini perlu sentiasa dibetulkan dan dipasak sedalam mungkin, bahawa kita tidak memerlukan secara hakikatnya kesemua yang akan hilang itu, bahkan perlu kita tanam setiap masa dan ketika bahawa kita hanya memerlukan Tuhan, taufiq dan inayah-Nya, dalam meniti denai-denai perjuangan ini.
“Setiap yang ada di atas muka bumi ini akan hilang, dan yang kekal hanyalah wajah Tuhanmu yang penuh ketinggian dan kemuliaan” – Surah Ar-Rahmaan
Atas asas kefahaman itu, pohon yang tumbuh akan bersifat rabbani kerana disirami dengan siraman Al-Quran dan cahaya Tuhan. Ketika itu, perasaan seseorang akan kekal pada ketergantungannya kepada Tuhannya semata-mata.
Proses keyakinan yang dilalui menjadikannya ‘yakin’ bahawa segala yang ada tidak akan ada tanpa kehendak dan kemahuan Tuhannya. Ia melangkaui proses pembelajaran rasmi, kerana ia adalah perjalanan rohani seseorang dalam meniti jalan mujahadah menuju Allah SWT.
Dimasyhurkan pun tidak mengapa, didiamkan pun tidak mengapa. Disokong tidak mengapa, dibiarkan pun tidak mengapa. Mehnah dan ujian dilalui dengan penuh pengharapan dan perasaan cinta dan kasih kepada Tuhan.
Apa yang perlu dirisaukan, bukankah kesemuanya itu hanyalah sebahagian warna dan cara tadbir Tuhan ?
Apa yang perlu dirisaukan, bukankah kita hanyalah sebahagian daripada tadbir dan takdir Tuhan ?
Tetap teguh di atas sangka yang terbaik, tetap teguh hingga menjadi hamba-Nya yang terbaik.
“Aku pada sangkaan hamba-Ku pada-Ku” – Hadis Qudsi
” … bagi menguji kamu siapakah yang paling baik amalannya” – Surah Al-Mulk
Wallahua’lam bissawaab
Ustaz Syamil Esa
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)