SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperkenalkan pilihan bayaran fidyah puasa Ramadan mengikut jenis beras yang dimakan pada tiga kadar yang berlainan iaitu RM2, RM4 dan RM6 sehari.
Setiausaha MAIS Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata kadar bayaran fidyah yang ditetapkan RM2 sehari adalah bagi individu yang memakan beras Super Special Tempatan 5 peratus.
Manakala bayaran fidyah ditetapkan RM4 sehari bagi individu yang memakan beras putih import/beras perang/ beras pulut/herba ponni/ beras wangi dan kadar fidyah RM6 sehari bagi individu yang memakan beras basmathi/beras Jepun/beras merah.
“Mereka yang berkemampuan amat digalakkan menunaikan bayaran fidyah mengikut jenis beras yang dimakan selaras dengan kadar zakat fitrah yang dilaksanakan di Selangor yang merujuk kepada keputusan Mesyuarat Fatwa Negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-5/2020 yang bersidang pada 17 Rabi’ul Awal 1442H bersamaan 3 November 2020 telah memutuskan bahawa kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan ialah satu per empat (1/4) daripada zakat fitrah yang dibayar.
Ahmad Shahir berkata sebagai contoh, jika seseorang itu meninggalkan puasa sebanyak tujuh hari pada tahun lepas (belum melangkau tahun), kadar fidyahnya adalah tujuh (hari) x satu (tahun) x RM2 = RM14 (jumlah yang perlu dibayar jika mereka memakan Beras Super Special Tempatan 5 peratus ).
Manakala jika seseorang yang memakan beras putih import/beras perang/ beras pulut/herba ponni/ beras wangi meninggalkan puasa sebanyak tujuh hari pada tahun lepas, kadar fidyahnya adalah tujuh (hari) x satu (tahun) x RM4 = RM28.
Bagi seseorang yang meninggalkan puasa contohnya sebanyak tujuh hari pula dan tidak menggantikan puasanya selama tiga tahun iaitu pada 2018 hingga 2020 (hingga melangkau Ramadhan tahun ini), kadar fidyahnya adalah tujuh (hari) x tiga (tahun) x RM2 = RM42 (jumlah yang perlu dibayar jika mereka memakan Beras Super Special Tempatan 5 peratus).
Beliau berkata bagi mereka yang berkemampuan, adalah amat digalakkan untuk membayar fidyahnya secara berganda jika melangkau Ramadan berikutnya.
Fidyah merupakan bayaran denda yang dikenakan kepada seseorang yang tidak dapat menggantikan puasanya di bulan Ramadan pada sesuatu tahun sehinggalah tibanya bulan Ramadan tahun berikutnya.
Umat Islam yang ingin membuat bayaran fidyah, bolehlah melayari laman web MAIS iaitu www.mais.gov.my atau bayaran boleh dibuat terus menerusi http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)