Hari ini kita dapat lihat orang awam tidak kira latarbelakang pendidikan sudah mula melaungkan Maqasid Syariah. Ia mungkin satu perkembangan yang bagus dari sudut tahap pengetahuan awam terhadap kalimah Arab.
Namun yang menjadi masalahnya ialah apabila ungkapan Maqasid Syariah disalah-ertikan. Sebahagian mereka yang kononnya memperjuang Maqasid Syariah langsung tidak mengendahkan Syariah itu sendiri. Satu kepelikan nyata.
Pelajarilah dari mana-mana ulama Maqasid di seluruh dunia, nescaya anda akan dapati mereka sangat menitik-beratkan Syariah demi mencapai Maqasid Syariah. Tunjukkan ulama mana yang menyatakan Maqasid Syariah boleh dicapai tanpa penegakkan Syariah.
Tahukah anda, Maqasid Syariah sebenarnya merupakan “Matlamat daripada syariah yang diturunkan, dan rahsia-rahsia yang diletakkan As-Syari’ (Allah swt) pada setiap hukum hakamnya”? seperti mana yang dijelaskan Al-‘Allamah ‘Allal Al-Fasi. (Maqasid As-Syariah Al-Islamiah wa Makarimuha, m/s 3)
Tahukah anda, Maqasid Syariah sebenarnya adalah Maqasid Al-Quran? Kerana sumber utama syariah itu sendiri adalah Al-Quran, bukan bersumberkan logik akal anda semata-mata.
Tahukah anda, terdapat 3 Maqasid Al-Quran yang terpenting sebagai pokok kepada segala maqasid yang lain sepertimana yang dinyatakan Imam Al-Ghazali:
1. Mengenal Allah swt (تعريف الله)
2. Mengenalkan kita pada jalan lurus yang wajib dilaluinya.
3. Mengenalkan keadaan ketika hari Akhirat. (Jawahir Al-Quran, m/s 23)
Al-Biqa’ie pula telah menyatakan maqasid surah Al-Ikhlas yang merupakan 1/3 daripada Al-Quran;
“Ia memadai dengan arahan supaya beriktikad dengan keesaan Allah yang merupakan iktikad (kepercayaan) yang paling utama. Segala maqasidnya tertumpu kepada menerangkan Aqidah, hukum-hakam, dan kisah-kisah. Surah ini merangkumi seluruh pengetahuan Ilahiyyah dan membidas mereka yang tidak mempercayainya. Inilah sebenarnya yang dikehendaki yang mana menjadi ikutan/asas segala maqasid yang lain.” (Nazmu Ad-Durar fi Tanasubi Al-Ayat wa As-Suwar, 593/8)
Sedarkah anda, mesej Al-Quran juga banyak menceritakan tentang perjuangan di dalam pertempuran Aqidah (معركة العقيدة), melawan musuh umat Islam, dan menetapkan umat Islam di atas jalannya.? (Lihat: Tafsir Fi Zilal Al-Quran, 3541/1)
Ya, Jikalau kita ingin memperjuang Maqasid Syariah, pastikan perkara-perkara asas di atas ini difahami terlebih dahulu. Nescaya kita sama sekali tidak tergamak memperjuang Maqasid Syariah sambil mengenepikan usaha pelaksanaan Syariah.
Semoga Allah memberi taufiq dan hidayah kepada kita semua.
Wallah A`lam.
Ustaz Ahmad bin Khairuddin
Sarjana Muda Syariah, Fiqh dan Usul Fiqh, Universiti Yarmouk