WAFIQ sokong masjid jadi pusat transit mangsa keganasan rumah tangga

 

BANGI – Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) menyokong penuh usaha menjadikan masjid sebagai pusat transit bagi mangsa keganasan rumah tangga.

Presiden WAFIQ, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, pihaknya amat menyambut baik usaha Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam melantik 14 masjid di sekitar Kuala Lumpur sebagai Pusat Transit Mangsa Keganasan Rumah Tangga.

Beliau berkata, masjid adalah antara institusi yang sangat rapat dengan kekeluargaan dan tepat untuk dijadikan sebagai pusat hentian setempat atau ‘one stop centre’.

“Isu keganasan rumah tangga yang semakin meningkat memerlukan pendekatan dari segala sudut.

“Tambahan pula, NGO-NGO yang mendapat kepercayaan menguruskan isu keganasan rumah tangga menghadapi kekangan dari sudut kewangan dalam menyediakan tempat transit yang selamat dan selesa,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengalu-alukan pembabitan 14 masjid yang dilantik, Prof Rafidah turut berharap usaha yang dilakukan Jawi turut dicontohi oleh negeri-negeri lain.

14 masjid terlibat adalah Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Al-Ghufran TTDI, Masjid Al-Imam Al-Ghazali, Masjid Al-Qurtubi, Masjid Amru Ibn Al-Ass, Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Masjid Al-Imam Asy Syafie, Masjid Ar Rahimah, Masjid Jamsul Ehsan, Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah, Masjid Al-Muqarrabin, Masjid Az-Zubair ibn Awwam, Masjid Ar Rahman dan Masjid Al-Ikhlasiah.

“Usaha yang sangat murni yang digerakkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ini sekali gus menterjemahkan Islam sebagai cara hidup yang kolektif dengan menampilkan solusi kepada permasalahan. Sesuai dengan takrifan Islam yang bermaksud selamat dan sejahtera.

“TeleWAFIQ yang merupakan platform aduan orang ramai tentang isu rumah tangga, kes syariah dan sivil, gangguan seksual di tempat kerja dan penindasan majikan ke atas pekerja dengan rendah hati menawarkan khidmat nasihat dan berbesar hati untuk bekerjasama rapat dalam usaha ini,” katanya.

WAFIQ juga antara NGO yang menawarkan khidmat nasihat percuma bagi membantu golongan wanita yang mengalami masalah perkahwinan, termasuk penderaan seksual dan keganasan rumah tangga melalui platform – TeleWAFIQ.

Platform itu adalah antara usaha WAFIQ membantu golongan wanita yang ditindas atau buntu untuk mendapatkan medium bantuan serta khidmat nasihat melalui kaedah guaman, kaunseling atau perubatan. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts