IPOH– Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menitahkan semua masjid dan surau mengadakan solat hajat dengan membaca qunut nazilah selepas menunaikan solat Jumaat pada 25 Ramadan agar diberikan perlindungan dan keselamatan daripada ancaman wabak COVID-19.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin berkata baginda prihatin dan menzahirkan kebimbangan mengikuti bilangan kes pesakit COVID-19 yang semakin meningkat dengan angka besar.
“Baginda menzahirkan penghargaan kepada para petugas di barisan hadapan terutama para doktor, jururawat dan kakitangan sokongan kesihatan dan perubatan yang menghadapi tekanan di samping menghadapi risiko yang besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Sultan Nazrin turut menasihati rakyat supaya melakukan persiapan untuk menyambut Aidilfitri dengan norma baharu, menjauhkan diri berkunjung ke tempat terdapat perhimpunan ramai, serta tanpa kompromi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Katanya, di samping usaha-usaha kesihatan dan perubatan yang dilakukan, Sultan Nazrin menzahirkan titah agar rakyat memohon sebaik-baik dan sebesar-besar pertolongan daripada Allah SWT. – Bernama
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)